[KEMASKINI]: Muhammad Ibrahim dilantik Gabenor Bank Negara baharu

Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bakal menamatkan perkhidmatan 30 April ini selepas 16 tahun menerajui bank pusat berkenaan.

Pengumuman pengganti Zeti akan dibuat kerajaan, namun sehingga kini persoalan pengganti Zeti masih belum terjawab.

Di bawah akta bank pusat, sekiranya tiada pengumuman dibuat sehingga Zeti tamat tempoh berkhidmat, timbalan gabenor bakal memangku jawatan gabenor buat sementara.

Zeti sewaktu pembentangan Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran pada Mac berkata beliau tidak akan kekal sebagai gabenor selepas tempoh kontrak tamat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada bulan sama berkata kerajaan bakal mengumumkan pengganti Zeti apabila mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong.

The Wall Street Journal (WSJ) pada Mac melaporkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah bakal menggantikan Zeti.

Bloomberg pada 24 April menyenaraikan beberapa nama yang disebut-sebut bakal menjadi calon pengganti Zeti.

Antaranya Timbalan Gabenor Muhammad Ibrahim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, dan bekas Duta Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Awang Adek Hussin.

Sementara itu, akhbar berbahasa Inggeris tempatan melaporkan Pengarah Urusan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Tan Sri Ismee Ismail merupakan antara calon berpotensi menggantikan Zeti.

Ini selepas tersebarnya khabar angin bahawa beliau bakal meninggalkan TH.

Namun spekulasi menyebut beliau bakal meninggalkan TH untuk menyertai Sime Darby Bhd menggantikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

Ini senarai calon yang disebut media tempatan dan antarabangsa:


Muhammad Ibrahim

Datuk Muhammad Ibrahim - Foto Bernama

Muhammad menyertai Bank Negara pada 1984 dan menjadi Timbalan Gabenor sejak Jun 2010.

Beliau bertanggungjawab memantau pengurusan rizab antarabangsa, dan pasaran kewangan serta operasi tukaran asing.

Beliau juga pernah berkhidmat di bahagian pemantauan perbankan dan kawal selia insurans dan perbankan luar pesisir.

Muhammad sebelum itu memegang jawatan Pengarah Urusan Danamodal Nasional Bhd, sebuah agensi permodalan bank yang dibangunkan sewaktu krisis kewangan Asia.

Beliau juga mempunyai ijazah Sarjana dari Universiti Harvard.

Mohd Irwan Serigar Abdullah

Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah - Foto Bernama

Beliau kini memegang jawatan Ketua Setiausaha Perbendaharaan. Memulakan kerjaya dalam Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada 1984, Irwan menyertai Kementerian Kewangan pada 2003 melibatkan beberapa jawatan.

Irwan mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dalam ekonomi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) dan Sarjana Pengurusan Tenaga dan Polisi dari Universiti Pennsylvania.

Abdul Wahid Omar

Datuk Seri Abdul Wahid Omar - Foto Bernama

Berasal dari keluarga susah, Wahid menerima ijazah perakaunan British hasil biasiswa kerajaan. Wahid memimpin beberapa Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, sebelum diserap menjadi Senator menerajui EPU.

Awang Adek Hussin

Datuk Dr. Awang Adek Hussin - Foto Bernama

Bekas Menteri Kewangan, beliau mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dalam ekonomi dari Wharton School, Universiti Pennsylvania, tempat di mana Zeti belajar.

Beliau berkhidmat di bank pusat lebih sedekad sejak 1985 di bahagian kawal selia ekonomi dan perbankan, dan menjadi pembantu Gabenor.

Beliau dilantik menjadi Duta Malaysia ke Amerika pada 2014 dan tempoh beliau tamat bulan ini.