Ahli Jawatankuasa Kira Kira Wang Negara (PAC) Datuk Liang Teck Meng mendesak semua ahli politik memberi ruang kepada jawatankuasa itu menyelesaikan tugas menyiasat isu syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebelum menimbulkan isu debat.

Teck Meng yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam menegaskan inkuiri dijalankan PAC adalah platform terbaik untuk mencari kebenaran.

Sehubungan itu, ahli-ahli jawatankuasa perlu diberi ruang untuk melakukan tugas yang diamanahkan oleh Parlimen.

"Saya mempertahankan hakikat inkuiri PAC adalah platform terbaik untuk mencari kebenaran.

"Namun, bagi sesetengah ahli politik, mereka mahu menjadikan isu debat, sebagai modal politik masing-masing," tegas Teck Meng dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Beliau merujuk tuduhan yang dinyatakan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang menyifatkan Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berselindung di sebalik speaker Parlimen, kerana hanya mahu berdebat selepas siasatan PAC ke atas syarikat itu selesai.

Jelas Teck Meng, sebagai saksi, Arul Kanda mempunyai hak untuk mempertahankan kes 1MDB tanpa sebarang prejudis ketika prosiding pendengaran PAC.

Rafizi juga jelas Teck Meng perlu sedar, kesediaan Arul Kanda berdebat dengan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua adalah kerana cabarannya yang dianggap kebudak-budakan.

"Rafizi tidak perlu merasa bahawa dia harus menebus maruah selepas ejekan ini dan cuba mencari publisiti untuk menyelamatkan YB Tony dari cabaran yang dibuatnya secara peribadi," kata Teck Meng.