MALAYSIA

Siasatan akaun bank luar negara Anwar selesai sejak 2022 - SPRM

Sinar Harian 26/09/2025 | 02:50 MYT
SPRM menegaskan tiada bukti PM Anwar memiliki akaun bank luar negara seperti didakwa, selepas siasatan sejak 1999. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memiliki 20 akaun bank luar negara termasuk di Israel mendapati tiada sebarang bukti atau keterangan yang boleh dikaitkan.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai kandungan yang tular di aplikasi TikTok berhubung dakwaan itu seperti yang disebut dalam satu sidang Parlimen pada 2013.

“SPRM ingin menegaskan bahawa siasatan terhadap dakwaan tersebut telah dijalankan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada tahun 1999.

“Hasil siasatan mendapati tiada sebarang bukti atau keterangan yang boleh mengaitkan beliau dengan kesalahan jenayah rasuah atau salah guna kuasa pada ketika itu,” katanya.

SPRM memberitahu, penjelasan mengenai hasil siasatan tersebut turut dinyatakan dalam akuan bersumpah oleh bekas pengarah siasatan BPR ketika itu iaitu Datuk Abdul Razak Idris pada 2009.

Sebagai rekod, pihak WikiLeaks juga telah menafikan pernah menyiarkan sebarang senarai akaun bank milik Perdana Menteri seperti yang didakwa semasa sidang Parlimen berkenaan

Berita berkenaan disiarkan di sebuah akhbar tempatan bertajuk "Dah 5 tahun baru Wikileak nafi" bertarikh 5 Oktober 2018.

“Sehubungan itu, SPRM ingin mengingatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengelirukan masyarakat atau menjejaskan reputasi mana-mana individu tanpa asas yang sah.

“Penyebaran maklumat tidak sahih boleh menimbulkan kekeliruan dan mengganggu ketenteraman awam,” katanya.

SPRM menegaskan, suruhanjaya itu kekal komited untuk menjalankan siasatan secara bebas, telus dan berintegriti selaras dengan undang-undang negara. - Sinar Harian





#Anwar Ibrahim #Rasuah #SPRM #akaun bank luar negara