Demikian tegas Gabenor Bank Negara, Datuk Muhammad Ibrahim ketika diminta mengulas mengenai pendedahan Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ) mengenai syarikat pelaburan strategik itu.

“Kami telah melengkapkan penyiasatan kami berdasarkan maklumat dan kertas siasatan,” katanya.

“Kami telah kenakan penalti kepada syarikat itu, dan kami telah mengambil semua tindakan yang sesuai berdasarkan kuasa yang diberikan oleh undang-undang kepada kami, kemudian kami telah tutup siasatan,” katanya.

Muhammad bagaimanapun menambah, bank pusat sentiasa komited untuk memberi kerjasama kepada mana-mana agensi penguatkuasaan undang-undang sekiranya perlu.

Beliau juga menafikan laporan polis yang dibuat oleh Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun terhadap bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz membawa sebarang impak signifikan kepada bank pusat.

“Semua orang boleh membuat laporan polis, Malaysia satu negara yang bebas, ini bukan kali pertama orang membuat laporan polis terhadap bank pusat,” katanya.

Muhammad menambah, ia bergantung kepada persepsi awam untuk menentukan sama ada isu pendedahan DOJ Julai lalu menjejaskan sentimen luar terhadap sistem kewangan negara.

Beliau bagaimanapun menambah, bank pusat sentiasa melakukan semua yang termampu dalam memastikan kedaulatan dan integriti sistem kewangan negara dikekalkan.