KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan siasatan sedang dijalankan terhadap dakwaan kewujudan rangkaian pengedaran dadah di Pulau Langkawi yang dipercayai didalangi oleh anggota polis, sekali gus memberi jaminan tiada sebarang kompromi akan diberikan sekiranya terbukti berlaku pelanggaran undang-undang.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Ismail berkata siasatan masih berada pada peringkat awal dan pihaknya memerlukan masa untuk mengenal pasti individu terlibat serta kemungkinan kaitan dengan mana-mana kumpulan jenayah terancang.
“Itu kita masih lagi dalam siasatan. Saya perlu pastikan siapakah yang terlibat, individu yang berkaitan ataupun kumpulan-kumpulan mana.
"Jadi kita tak dapat nak komen buat sementara dan insya-Allah, saya akan panggil untuk bagi sidang media,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Peluncuran PDRM Special Dialogue (PSD) V 2026 di Kuala Lumpur pada Selasa.
Beliau menegaskan sebarang kenyataan lanjut hanya akan dibuat selepas siasatan diselesaikan bagi mengelakkan maklumat tidak tepat yang boleh menjejaskan proses siasatan.
Dalam perkembangan berkaitan, Khalid berkata PDRM kekal komited dalam usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah di seluruh negara, termasuk melalui operasi berskala besar yang dilaksanakan sepanjang tahun ini.
“Of course (sudah tentu). Semua sedia maklum. Tahun ini sahaja, kita telah buat banyak rampasan besar-besaran (dadah) bagi memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin, Insya-Allah,” katanya.
Mengulas tindakan terhadap mana-mana pegawai atau anggota polis yang didapati terlibat dalam aktiviti jenayah, Khalid menegaskan bahawa undang-undang akan dikuatkuasakan tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
“Kalau berkaitan dengan undang-undang keselamatan dan sebagainya kita tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus.
Media pada Selasa melaporkan kewujudan semula satu rangkaian pengedaran dadah yang beroperasi secara terancang di sekitar kepulauan Langkawi, susulan kematian seorang individu yang sebelum ini dikaitkan dengan kegiatan berkenaan kira-kira enam tahun lalu.
Menurut laporan itu, rangkaian terbabit dipercayai dikendalikan oleh seorang individu yang dikenal pasti sebagai anggota polis, dengan dibantu beberapa kenalan yang dikatakan mempunyai hubungan dengan sindiket dadah terdahulu yang pernah aktif di kawasan berkenaan.
Laporan sama turut mendakwa sebahagian daripada individu terlibat pernah mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah terdahulu sebelum ini, dan meneruskan kegiatan pengedaran dadah walaupun pelbagai operasi penguatkuasaan telah dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Keadaan itu didakwa menyumbang kepada masalah penyalahgunaan dadah yang masih berterusan di pulau peranginan utama tersebut, dengan Langkawi dilaporkan terus mencatatkan jumlah penagih yang tinggi.