Siasatan kebocoran paip bawah tanah KLIA2 diteruskan - MAHB

Astro Awani
November 21, 2015 05:03 MYT
MAHB berjanji pihaknya akan mengambil langkah serius dalam mengenal pasti punca kebocoran paip berkenaan. - Gambar Fail
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menafikan kebocoran paip bawah tanah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur(KLIA2) berpunca dari mendapan tanah.
Pengarah urusannya, Datuk Badlisham Ghazali bagaimanapun memaklumkan punca kejadian masih disiasat.
Badlisham pada masa sama berjanji pihaknya akan mengambil langkah serius dalam mengenal pasti punca kebocoran paip berkenaan.
"Mereka sedang buat kajian lebih teliti, siasatan lebih mendalam. Bukan sahaja untuk mengorek, termasuk kajian dan ujian. Perkara ini rumit sikit," kata Badlisham.
MAHB setakat ini mengambil beberapa langkah keselamatan termasuk menutup kawasan petak Q10 dan Q12 yang didapati terjejas akibat kebocoran saluran paip terbabit.
Jabatan Penerbangan Awam (DCA)sebelum ini turut memaklumkan untuk memantau situasi berkenaan dari dekat bagi menentukan siasatan dan kerja pembaikan dijalankan mengikuti prosedur keselamatan.
#AirAsia #Badlisham Ghazali #MAHB #Malaysia Airports Holdings Berhad