GEORGE TOWN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah berhenti menjalankan siasatan terhadap kes kehilangan wanita warga Australia, Anna Jenkins, empat tahun lepas malah penyiasatan dibuat secara menyeluruh mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan terperinci dilakukan termasuk mendapatkan maklumat atau perkembangan kes daripada saksi, ahli keluarga Jenkins dan individu yang mempunyai maklumat mengenainya.

"Menjelaskan kedudukan kes warga Australia (Jenkins) yang kembali ditimbulkan oleh seorang Ahli Majlis Perundangan Parlimen di Australia dengan mahu menulis surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai perkembangan kes tersebut tidak disiasat lengkap oleh PDRM, jadi hari ini saya tampil menjelaskan bahawa siasatan kes itu dijalankan sejak wanita itu hilang pada 2017.

"Pelbagai cara siasatan dijalankan dengan teliti bagi mengumpulkan maklumat termasuk merekodkan keterangan 15 saksi sehinggalah pada Jun tahun lepas kami mendapat perkembangan baharu berhubung penemuan sejumlah tulang di sebuah kawasan hutan berhampiran Jalan Batu Gantung, di sini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan beberapa portal berita mengenai seorang nenek dari Adelaide, Australia yang hilang di Pulau Pinang pada 2017 dan mayatnya dijumpai tiga tahun kemudian akan menjadi subjek usul untuk dibahaskan di Parlimen Australia Selatan semalam.

Frank Pangallo, seorang Ahli Majlis Perundangan Parlimen Australia Selatan dilaporkan akan menggerakkan usul untuk menggesa kerajaan Australia menyiasat dakwaan bahawa polis Malaysia mungkin telah menjalankan penyiasatan yang tidak betul terhadap kehilangan dan kematian Jenkins, 65.

Mohd Shuhaily berkata sehingga hari ini, polis tidak menerima sebarang permohonan secara rasmi daripada Kedutaan Australia berkenaan kes tersebut dan pihaknya bersedia membantu serta memberikan kerjasama kepada mana-mana pihak malah ahli keluarga Jenkins juga sentiasa dimaklumkan perkembangan kes itu iaitu dari hari pertama wanita itu dilapor hilang.

"Tahun lepas, kami ada menerima kehadiran pasukan polis Australia bagi melihat perkembangan siasatan kes ini dan mereka berpuas hati dengan siasatan kami malah keluarga mangsa (Jenkins) juga hadir termasuk anaknya datang ke sini (Pulau Pinang) bagi membuat padanan asid deoksiribonukleik (DNA) dengan tulang yang dijumpai tersebut," katanya.

Pada 11 Ogos tahun lepas, ujian DNA ke atas tulang pinggul yang ditemukan di kawasan semak berhampiran Jalan Batu Gantung itu didapati sepadan dengan DNA Jenkins.

Pada 13 Disember 2017, Jenkins, dilaporkan dikatakan meninggalkan bilik hotelnya untuk ke klinik gigi di Pulau Tikus dan meminta pekerja hotel memesan perkhidmatan e-hailing bagi membawanya ke sebuah rumah kebajikan di Batu Lancang selepas selesai rawatan.

Wanita itu kemudian meminta pemandu menurunkannya berdekatan lampu isyarat di Jalan Scotland dan demi keselamatan, pemandu menurunkannya berhampiran sebuah sekolah.

Jenkins dilaporkan hilang sejak itu dan laporan kehilangannya dibuat oleh suaminya.

-- BERNAMA