Siasatan kes cabul di maahad tahfiz selesai - Ketua Polis Perak
Astro Awani
Ogos 27, 2016 08:39 MYT
Ogos 27, 2016 08:39 MYT
Polis Perak sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung dakwaan pencabulan seksual di sebuah maahad tahfiz milik seorang penceramah bebas terkemuka.
Perkembangan itu disahkan oleh Ketua Polis Perak Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi.
"Kertas siasatan lengkap dan kita akan majukan kepada Pengarah Perundangan Negeri Perak, Isnin ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini pada Sabtu.
Baru-baru ini, tersebar di laman sosial mengenai beberapa pelajar baharu di maahad tahfiz berkenaan yang dikatakan dicabul selain didakwa berlaku kejadian seks luar tabii.
Pendakwah yang juga pemilik Maahad Tahfiz Darul Barakah, Datuk Kazim Elias, pada Jumaat telah membuat laporan polis terhadap dua pengguna media sosial (Facebook) kerana didakwa membuat komen-komen yang berunsur fitnah sehingga menjejaskan reputasinya sebagai seorang penceramah agama terkenal tanah air.
Polis Perak membuka kertas siasatan pada Rabu (24 Ogos) dan memanggil 10 individu sudah dipanggil untuk memberi keterangan termasuk pelajar, pengadu dan pengurusan maahad tahfiz berkenaan