MALAYSIA

Siasatan kes "Inspektor Sheila" sudah lengkap - Polis

Bernama 07/11/2025 | 16:02 MYT
Polis telah melengkapkan kertas siasatan membabitkan wanita dikenali "Inspektor Sheila" yang disyaki memperlekeh anggota ketika melakukan pemeriksaan terhadap seorang lelaki warga asing di Jalan Ipoh, Selasa lepas. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Polis telah melengkapkan kertas siasatan membabitkan wanita dikenali "Inspektor Sheila" yang disyaki memperlekeh anggota ketika melakukan pemeriksaan terhadap seorang lelaki warga asing di Jalan Ipoh, di sini, Selasa lepas.


Ringkasan AI
  • Polis telah melengkapkan kertas siasatan wanita dikenali sebagai "Inspektor Sheila" yang memperlekeh anggota ketika pemeriksaan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
  • Kertas siasatan akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) bagi cadangan pertuduhan, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus.
  • Inspektor Sheila telah digantung tugas sejak 23 Jun 2023 berhubung kes menghina anggota polis dan mengugut wanita warga emas.


Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata kertas siasatan berkenaan akan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam masa terdekat.

"Kita telah melengkapkan siasatan dan kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat DPP bagi cadangan pertuduhan," katanya kepada pemberita selepas Program Selawat Dan Munajat Perdana Polis Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Media semalam melaporkan, dalam kejadian pada 9.30 malam itu, wanita berkenaan telah menuduh anggota bertugas tidak mengetahui undang-undang dan memperlekeh tindakan pihak polis selain mendakwa anggota berkenaan mengugut warga asing terbabit.

Susulan itu, anggota berkenaan telah membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana menghina.

Terdahulu, tular video dimuat naik wanita itu di laman sosial mendakwa anggota polis berkenaan mengugut seorang warga Pakistan yang menunggang motosikal.

Inspektor Sheila telah digantung tugas sejak 23 Jun 2023 berhubung beberapa kes antaranya menghina seorang anggota polis dan mengugut seorang wanita warga emas.

-- BERNAMA

#Inspektor Sheila #siasatan kes #lelaki warga asing #anggota polis