Siasatan lanjut isu dalam laporan PAC amalan biasa - Bekas Pengerusi PAC

Bernama
Februari 16, 2023 10:22 MYT
Wong Kah Woh berkata, tindakan susulan oleh mana-mana pihak termasuk kerajaan, agensi audit atau agensi penguat kuasa, penting dalam mengukuhkan kedudukan PAC sebagai institusi semak imbang yang penting. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Siasatan lanjut terhadap mana-mana isu yang telah dibentangkan dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) ke Parlimen, merupakan amalan biasa dan bukannya suatu yang asing.
Bekas Pengerusi PAC Parlimen ke-14, Wong Kah Woh berkata, tindakan susulan oleh mana-mana pihak termasuk kerajaan, agensi audit atau agensi penguat kuasa, penting dalam mengukuhkan kedudukan PAC sebagai institusi semak imbang yang penting.
"PAC Parlimen ke-15 yang bakal ditubuhkan oleh Parlimen sekiranya perlu, boleh membuat keputusan sama ada hendak mengadakan prosiding bagi siasatan lanjut isu perolehan vaksin COVID-19, dengan berpaksikan penemuan Kertas Putih yang bakal dibentangkan di Parlimen," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
PAC Parlimen ke-14 telah menjalankan prosiding berkenaan isu perolehan vaksin COVID-19 dan penggunaannya terhadap rakyat Malaysia serta telah membentangkan Laporan PAC pada 1 Dis 2021 dan Laporan PAC berkenaan Tindakan Susulan pada 24 Mac 2022.
Pada 8 Feb, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kertas Putih perolehan dan kos pembelian vaksin COVID-19, akan dibentangkan pada persidangan Parlimen kerana didapati tidak mengikut prosedur serta dilakukan tanpa melalui persetujuan Peguam Negara. - BERNAMA
#laporan pac #Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara #Wong Kah Woh #kertas putih