Siasatan memoir Tommy Thomas: 'Saya ditanya empat soalan' - Wan Azizah

Fareez Azman
Januari 28, 2022 09:05 MYT
Wan Azizah memaklumkan beliau diminta untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menerusi satu mesej oleh pegawai polis bertugas. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: 'Saya hanya menjawab empat soalan ditanya kepada saya berhubung siasatan.'
Itu jelas bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail selepas hadir memberi keterangan kepada pihak polis bagi membantu siasatan berhubung penerbitan buku bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” yang ditulis bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.
Ujarnya, beliau diminta untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menerusi satu mesej oleh pegawai polis bertugas.
"Saya dipanggil kerana Asisten Superintendan Khairul memberi satu mesej bahawa saya perlu menjawab. Empat soalan dan saya dah jawab, tapi tak banyak saya boleh kongsi.
"Sekejap sahaja empat soalan tetapi memang berkaitan pendapat (Tan Sri) Tommy Thomas, itu saya tidak boleh komen apa-apa itu pendapat dia, saya cuma boleh jawab tentang fakta sahaja," jelasnya ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Jumaat.
Terdahulu, Penasihat Majlis Presiden Pakatan Harapan itu dilihat meninggalkan Bukit Aman kira-kira jam 4.25 petang.
Sementara itu, menurut peguam mewakili Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Selayang, William Leong, keterangan itu hanya berkait tentang buku terbabit sahaja.
"Datuk Seri Wan Azizah diminta untuk hadir ke Bukit Aman dan telah disoal oleh Inspektor.
"Siasatan tentang Tommy Thomas dalam buku dan soalan tentang kandungan dalam buku," jelasnya.
Turut hadir memberikan sokongan kepada Wan Azizah, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Petaling, Maria Chin Abdullah dan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.
Buku bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” yang ditulis bekas peguam negara Tommy Thomas itu diterbitkan tahun lalu.
Bagaimanapun, beberapa pihak tampil mengkritik penulisan buku terbabit yang didakwa mengandungi unsur hasutan, penghinaan dan fitnah.
Susulan itu, kerajaan menubuhkan satu pasukan petugas khas siasatan bagi membuat kajian awal kandungan buku tersebut.
#Wan Azizah Wan Ismail #Tommy Thomas #Bekas Peguam Negara #siasatan #PDRM