[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Siasatan Op Sky, Op Sohor selesai, beberapa individu akan didakwa - Azam Baki

Bernama 09/09/2025 | 05:10 MYT
Azam Baki (foto) berkata menerusi Op Sky, kira-kira 20 pegawai bank akan didakwa di mahkamah di bawah Akta SPRM 2009 pada hujung bulan ini atau awal Oktober. -Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai menjalankan siasatan terhadap kes rasuah berprofil tinggi merangkumi Op Sky dan Op Sohor dengan beberapa individu akan didakwa dalam masa terdekat.


Ringkasan AI
  • SPRM selesai siasatan terhadap Op Sky dan Op Sohor, dengan beberapa individu termasuk pegawai bank dan pegawai ATM akan didakwa dalam masa terdekat.
  • Op Sky melibatkan pengubahan wang haram lebih RM200 juta, manakala Op Sohor membabitkan sindiket penyeludupan didalangi pegawai kanan ATM.
  • SPRM turut hampir melengkapkan siasatan Op DBKL, dengan rampasan aset mewah dan cadangan pertuduhan sedang dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya.


Op Sky, siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan, manakala Op Sohor siasatan terhadap pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata menerusi Op Sky, kira-kira 20 pegawai bank akan didakwa di mahkamah di bawah Akta SPRM 2009 pada hujung bulan ini atau awal Oktober.

"Kes ini pun telah selesai disiasat dan sudah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata usaha untuk mendapatkan semula wang lebih RM200 juta sedang digerakkan oleh SPRM di bawah Op Sky.

"Akan ada pihak (lain) bakal dituduh di mahkamah kerana tidak bersetuju untuk membuat pemulihan ini," katanya.

Sebelum ini, SPRM membekukan 98 akaun syarikat dan individu bernilai RM22.07 juta yang juga siasatan penggubahan wang haram hasil daripada kegiatan rasuah, pemalsuan dokumen dan penipuan untuk mendapatkan kelulusan pembiayaan pinjaman peribadi.

Mengenai Op Sohor, Azam berkata siasatan kes telah selesai dengan empat pegawai kanan ATM akan didakwa di mahkamah, manakala seorang lagi akan dikemukakan laporan tatatertib kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF).

"Enam orang awam (yang ditahan) berkenaan masih lagi dalam penelitian Timbalan Pendakwa Raya sama ada mereka boleh dituduh ataupun tidak," katanya sambil menambah sebanyak 11 individu ditahan dalam kes berkenaan.

SPRM sebelum ini melumpuhkan sindiket penyeludupan didalangi pegawai-pegawai kanan ATM yang beroperasi di selatan tanah air melalui Op Sohor.

Mengulas berkaitan Op DBKL, Azam berkata empat individu ditahan dalam kes berkenaan termasuk seorang pegawai kanan gred JUSA B, manakala 16 individu telah dirakam percakapan.

"Siasatan hampir lengkap dijalankan dan kes ini akan dikemukakan dalam tempoh terdekat kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan cadangan-cadangan pertuduhan," katanya.

SPRM sebelum ini dilapor menyita wang tunai lebih RM200,000, empat peranti telekomunikasi, dua unit kenderaan jenis Lexus RX500H serta Mini Cooper, beg tangan serta kasut berjenama Hermes dan Louis Vuitton dalam siasatan kes itu.

-- BERNAMA




#Azam Baki #SPRM #Op Sky dan Op Sohor #ATM #pegawai bank