Siasatan Polis Diraja Malaysia berhubung pertubuhan yang tidak berdaftar, Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang akan mengambil sedikit masa.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, ia disebabkan jumlah anggota pasukan tersebut yang ramai.

"Siasatan kita memakan masa sedikit kerana jumlah anggota (pasukan) tersebut yang ramai," katanya.

Khalid berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Pasukan Polis Semenanjung Malaysia (PACSU) ke-35 di sini, hari ini.

Pada 31 Ogos lepas, polis telah menahan 156 anggota PPS termasuk pengerusi pasukan itu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh kerana ingkar amaran untuk tidak menjalankan aktiviti selepas PPS didapati tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, polis akan melakukan saringan terhadap semua anggota PPS dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang didapati terlibat jenayah.

Katanya, ahli PPS yang mempunyai rekod bersih dan bebas daripada kesalahan jenayah, nama mereka akan diserahkan kepada kerajaan negeri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini memberitahu, Kerajaan mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak mengugut dan mencabar pihak berkuasa sehingga membelakangkan undang-undang negara.

Tegasnya, walaupun kerajaan menyambut baik langkah masyarakat menjalankan aktiviti pencegahan jenayah, namun mana-mana tindakan melampaui batasan perundangan, boleh menjejaskan keamanan dan keselamatan umum.

Ketua Menteri Lim Guan Eng sebelum ini dilaporkan berkata, Kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP bersedia meletak jawatan jika UMNO negeri dapat membuktikan kerajaan negeri itu menyediakan peruntukan RM1.5 bilion bagi PPS.

Guan Eng menjelaskan, laporan dalam laman web UMNO menyatakan peruntukan itu untuk PPS adalah tidak tepat kerana kerajaan negeri tidak mempunyai dana sebanyak itu untuk menjayakan aktiviti unit berkenaan.