BUKIT MERTAJAM: Siasatan berhubung isu yang dibangkitkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) akan diteruskan bagi memastikan negara tidak berterusan menanggung kerugian, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menegaskan bahawa tindakan sewajarnya perlu diambil sekiranya hasil siasatan mendapati wujud kesalahan, namun proses berkenaan mesti berlandaskan bukti dan undang-undang.
“Macam (siasatan RCI) Tabung Haji, apabila tidak ambil tindakan, negara akan rugi, (tetapi apabila) ambil tindakan, saya kena maki. Saya pun tidak faham.
“Saya kata duit hilang RM12 bilion, macam mana hilang? Bila hilang? Siapa yang hilangkan, hal itu (pihak berkuasa) siasat. Ada bukti, dakwa di mahkamah dan kemudian serah kepada hakim. Itu cara kita perintah dan mentadbir," katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Skim Usahawan Bangkit (SUB) MADANI Permatang Pauh di Dewan Yayasan Aman, Penanti, di sini hari ini.
Anwar berkata kerajaan tidak akan menghukum mana-mana pihak tanpa proses sewajarnya, namun tidak akan berkompromi sekiranya terdapat bukti kukuh berlakunya salah laku.