MALAYSIA
Siasatan seleweng dana lebuh raya: Kertas siasatan lengkap dalam tempoh dua bulan

Azam berkata, setakat ini tiada sebarang keperluan untuk menyambung proses rakaman keterangan ahli perniagaan bergelar Tan Sri itu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berhubung kes penyelewengan dana sukuk sebuah projek lebuh raya akan dilengkapkan dalam tempoh dua bulan.
Ringkasan AI
- SPRM sedang melengkapkan kertas siasatan kes penyelewengan dana sukuk projek lebuh raya dalam tempoh dua bulan, dan telah selesai merakam keterangan seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri.
- Siasatan diteruskan dengan pemanggilan saksi-saksi baharu dan analisis dokumen termasuk dokumen bank, bagi membantu melengkapkan siasatan.
- SPRM sebelum ini menyita aset bernilai RM141 juta dalam negara dan sedang mengesan aset luar negara bernilai RM15 juta yang dikaitkan dengan penyelewengan dana tersebut.
“Namun dia (Tan Sri) boleh dipanggil semula pada bila-bila masa sekiranya ada perkembangan terbaharu yang diperolehi pihak SPRM.
“Sekiranya wujud bukti-bukti baharu pegawai penyiasat akan memanggil dia semula untuk tindakan sambungan rakaman percakapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Astro AWANI berhubung perkembangan kes terbabit.
Azam juga menjelaskan, SPRM akan memanggil lebih ramai saksi selepas ini bagi direkodkan keterangan untuk membantu siasatan.
“Jadi dalam kes ini, penyiasatan akan diteruskan dengan memanggil saksi-saksi baharu. Setakat ini tidak dapat saya kongsi berapa ramai telah SPRM panggil untuk direkodkan keterangan.
“Tetapi lebih ramai saksi akan kami panggil untuk membantu siasatan dalam memberi keterangan. Selain itu, SPRM kini dalam proses menganalisis dokumen yang kita perolehi termasuk dokumen bank yang kami peroleh.
“Semua ini bagi tujuan untuk melihat dan membantu pihak SPRM dalam menyelesaikan siasatan yang sedang dijalankan,” jelasnya.
Pada Khamis SPRM menyambung proses merakam keterangan individu berkenaan bagi membantu siasatan berkaitan kes penyelewengan dana sukuk sebuah projek lebuh raya.
Proses mengambil keterangan oleh pasukan penyiasat SPRM tersebut merupakan kali ketiga, selepas tindakan sama dilakukan pada Rabu dan Khamis lalu.
Sebelum ini, SPRM menyita aset dalam negara berjumlah RM141 juta selain sedang mengesan aset luar negara dianggarkan bernilai RM15 juta, yang dikaitkan dengan penyelewengan dana sukuk projek pembinaan lebuh raya berkenaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami