[TERKINI] Amir Hamzah Jalankan Tugas Menteri Ekonomi Berkuat Kuasa Serta-Merta – RMK13 Jadi Tumpuan | Berita Lanjut di Sini
MALAYSIA

Siasatan seleweng sukuk bina lebuh raya: Kediaman Tan Sri dikawal ketat

Faida Rahim 11/06/2025 | 01:10 MYT
Kediaman Tan Sri yang dikaitkan kes penyelewengan dana sukuk lebuh raya dikawal ketat polis bantuan pagi ini. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kediaman seorang individu bergelar Tan Sri yang dikaitkan kes penyelewengan dana sukuk pem­binaan sebuah lebuh raya di Lembah Klang dikawal ketat polis bantuan pagi ini.
Berdasarkan tinjauan AWANI, beberapa pengamal media cuba menghampiri pekarangan kediaman pemegang konsesi lebuh raya itu namun usaha itu tidak mendatangkan hasil.
Dalam masa sama, pihak polis bantuan turut mengarahkan pengamal media untuk beredar dari pekarangan rumah individu itu.
Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan akan mengambil keterangan seorang individu bergelar Tan Sri berhubung kes penyelewengan dana sukuk pem­binaan sebuah lebuh raya di Lembah Klang.
Difahamkan, pemegang konsesi lebuh raya berkenaan dipanggil hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada pagi ini.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, pemegang konsesi lebuh raya itu merupakan saksi utama dalam siasatan kes terbabit.
Media sebelum ini melaporkan 45 saksi yang diambil keterangan sebelumnnya bagi membantu siasatan, sudah dipanggil semula untuk memberikan maklumat tambahan.
Pada 3 Jun lalu, SPRM menyenaraikan harta dengan keseluruhan sitaan berjumlah kira-kira RM143 juta, dirampas dalam siasatan penyelewengan sukuk untuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang membabitkan seorang kenamaan bergelar Tan Sri.
Pasukan siasatan SPRM juga sedang mengesan kenderaan mewah dan hartanah milik Tan Sri terbabit di dalam serta luar negara termasuk di London dan Switzerland.
Tan Sri itu sebelum ini dilaporkan sebagai saksi utama dalam siasatan yang dijalankan SPRM membabitkan rampasan pelbagai aset mewah bernilai lebih RM143 juta.
Antara sitaan termasuk wang tunai dalam akaun individu dan syarikat berjumlah RM37.5 juta, hartanah bernilai RM24.5 juta, sembilan kenderaan mewah (RM7.65 juta), jam tangan eksklusif (RM25 juta), barangan kemas serta berlian (RM6 juta), tas tangan berjenama (RM3 juta), minuman keras (RM3 juta) dan empat ekor kuda bernilai RM400,000.
Turut dikesan ialah aset luar negara melebihi RM15 juta serta aktiviti perjudian mencecah RM20 juta yang dikaitkan dengan Tan Sri terbabit.
#SPRM #Tan Sri #dana sukuk lebuh raya #seleweng