'Siasatan semula kehilangan Pastor Raymond, Amri selepas ganti IGP' - Tun M

Fareez Azman
April 5, 2019 08:18 MYT
Menurut Tun Mahathir, siasatan berhubung kehilangan Pastor Raymond dan Amri hanya akan dijalankan setelah pertukaran Ketua Polis Negara. - Gambar fail
Kerajaan akan membuka semula siasatan berhubung kehilangan Pastor Raymond dan Amri Che Mat yang dikaitkan dengan Pasukan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti didedah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Rabu lalu.
Menurut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, siasatan itu hanya akan dijalankan setelah pertukaran Ketua Polis Negara.
“Kita akan buka siasatan baru kerana tuduhan Suhakam itu terus kepada Ketua Polis Negara (KPN) ketika ini Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. Kita kena tunggu sehingga pertukaran KPN kemudian kita akan tubuhkan satu kumpulan untuk mengkaji segala bukti yang ada oleh Suhakam," kata Tun Mahathir.
Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Mah Weng Kwai bersama anggota panel, Profesor Datuk Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Suhaila membentangkan hasil inkuiri awam pada Rabu.
Panel Suhakam antara lain menegaskan bahawa kehilangan kedua-dua individu tersebut bukan kes kehilangan secara sukarela, tetapi secara paksaan yang melibatkan campur tangan ejen-ejen kerajaan, khususnya daripada Cawangan Khas, Bukit Aman.
Ia selepas 16 individu memberi keterangan dalam inkuiri tersebut, termasuk bekas Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar.
#Aishah Bidin #Amri Che Mat #inkuiri awam #Ketua Polis Negara #Khalid Abu Bakar #MAH WENG KWAI #Mahathir Mohamad #Mohd Fuzi Harun #Nik Salida Suhaila #Pastor Raymond #Pasukan Cawangan Khas #PDRM #Polis Diraja Malaysia #siasatan #Suhakam