Sibu pintu masuk barangan seludup

Bernama
Mac 14, 2018 07:08 MYT
Pasukan Gerakan Am Sibu menunjukkan barangan seludup yang merangkumi rokok putih dan kretek serta minuman keras dipercayai dibawa masuk dengan kapal besar menggunakan laluan sungai. - Foto BERNAMA
Meskipun jauh dari kawasan sempadan dengan negara lain, Sibu didapati menjadi pintu masuk dan pusat 'pengagihan' pelbagai jenis barangan seludup ke kawasan-kawasan lain di Sarawak.
Pegawai Pemerintah Batalion ke-10 Pasukan Gerakan Am Sibu, Superintendan Sanudin Md Isa berkata, barangan seludup yang merangkumi rokok putih dan kretek serta minuman keras dipercayai dibawa masuk dengan kapal besar menggunakan laluan sungai.
"Barangan itu kemudian diagih untuk penghantaran ke bahagian-bahagian lain, oleh itu, kita akan bekerja keras untuk membantu dan memperlengkap usaha membanteras penyeludupan yang dilakukan oleh agensi penguat kuasa lain," katanya dalam sidang akhbar di Kem Lanang hari ini.
Sanudin berkata, bagi menjayakan usaha itu, aktiviti risikan akan dipertingkat dan pada masa sama pihaknya berharap supaya orang ramai turut tampil membantu dengan memberikan maklumat.
Selain barangan seludup, beliau berkata, pihaknya juga akan menumpukan usaha pencegahan kegiatan aktiviti pembalakan haram.
Terdahulu, Sanudin berkata pihaknya telah merampas pelbagai jenis minuman keras dan rokok dipercayai barangan seludup dalam serbuan ke atas dua premis berbeza di sini semalam, melibatkan rampasan dianggarkan bernilai RM75,000.
"Sepasukan 10 anggota dan pegawai diketuai oleh Inspektor Mohd Hafizhazman Hassan melakukan serbuan ke atas dua rumah yang tidak berpenghuni di Jalan Nibong dan Jalan Berlian, masing-masing pada pukul 10 pagi dan 12 tengah hari," katanya.
Dalam serbuan pertama, pihaknya menjumpai 1,125 karton rokok putih dan kretek pelbagai jenama dan jenis dari negara asing di dalam sebuah garaj berbumbung di rumah tersebut manakala sebanyak 690 karton rokok putih dan kretek serta 324 botol arak pelbagai jenama ditemukan di lokasi serbuan kedua.
Katanya, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sentral Sibu manakala barangan seludup yang dirampas dalam serbuan yang turut disertai seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia Cawangan Sibu.
-- BERNAMA
#minuman keras #Rokok putih #seludup #Sibu