KUALA LUMPUR:Keputusan memendekkan Sidang Dewan Rakyat  setakat pukul 1 petang pada Isnin tidak akan menjejaskan sesi perbahasan ahli Parlimen.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya percaya bahawa ahli-ahli Parlimen akan menggunakan masa yang diperuntukan sebaik mungkin.

"Saya percaya terdapat beberapa perbincangan dalam kalangan (ketua) whip dan seperti mana yang anda tahu, apabila Speaker Dewan Rakyat memperkenalkan had masa untuk Ahli-ahli Parlimen bertanyakan soalan dan para menteri menjawab, beberapa hari pertama (kita melihat) ia satu keadaan yang janggal.

"Tetapi selepas beberapa ketika, kita belajar untuk menyusun perkataan kita.  Saya pernah memegang jawatan sebagai Menteri Luar dan banyak persidangan antarabangsa hanya memperuntukkan tiga minit untuk membentangkan cadangan kita," katanya kepada pemberita, di Dewan Rakyat pada Isnin.

Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan usul untuk menangguhkan mesyuarat hari ini sehingga jam 1 petang dan akan bersidang semula pada jam 10 pagi esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Datuk Takiyuddin Hasan mengusulkan kepada Dewan Rakyat selepas satu mesyuarat tergempar bersama ketua whip Parlimen setiap parti.