Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pertemuannya dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un sempena Sidang Kemuncak 'damai nuklear' yang dijadual berlangsung Selasa, akan berjalan dengan baik.

Trump melahirkan harapan itu pada majlis jamuan tengah hari yang dianjurkan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong di Istana di sini hari ini.

Pertemuan antara pemimpin berkenaan disiarkan secara langsung oleh hos penyiar Mediacorp dan melalui Facebook rasmi Lee.

"Kami mempunyai pertemuan yang sangat menarik khususnya esok, dan saya fikir ia akan berlangsung dengan baik," kata Trump.

Trump juga menyatakan penghargaannya terhadap Lee kerana menjadi tuan rumah bagi sidang kemuncak itu.

"Kami amat menghargai layanan mesra dan profesionalisme serta persahabatan anda. Terima kasih banyak," katanya.


Sidang kemuncak bersejarah itu akan diadakan di Hotel Capella, Pulau Sentosa.

Mesyuarat tertutup berlangsung antara pegawai Korea Utara dan Amerika Syarikat di Hotel Ritz-Carlton pagi ini dipercayai untuk memuktamadkan perjanjian menjelang sidang kemuncak bersejarah itu.

Antara lain, agenda berkaitan adalah bagi Pyongyang untuk melakukan usaha ke arah denuclearisation secara keseluruhan dan bakal menikmati jaminan keselamatan dan kebebasan ekonomi.

Kedua-dua pemimpin, Kim dan Trump tiba di sini Ahad, dua hari lebih awal dari tarikh sidang kemuncak.

BACA: Kim Jong Un tiba di Singapura untuk sidang kemuncak bersejarah

BACA: Donald Trump tiba di Singapura


-- BERNAMA