NATIONAL

Sidang Kemuncak ASEAN: 789 anggota trafik pastikan kelancaran jalan raya - JSPT

Astro Awani 19/05/2025 | 06:20 MYT
Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kekuatan ini merangkumi bantuan sumber manusia JSPT dari kontinjen seluruh negara.
KUALA LUMPUR: Seramai 789 pegawai dan anggota trafik bersiap sedia bagi memastikan kelancaran jalan raya sepanjang sidang kemuncak ASEAN ke-46 akan diadakan pada 26 dan 27 Mei ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kekuatan ini merangkumi bantuan sumber manusia JSPT dari kontinjen seluruh negara.
“Seramai 789 petugas trafik terdiri daripada 55 pegawai kanan dan 734 pegawai rendah bersiap sedia sepanjang persidangan berlangsung.
“Kekuatan ini merangkumi bantuan sumber manusia JSPT daripada seluruh kontinjen seramai 497 orang termasuk Kuala Lumpur iaitu 292 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Amanat kepada petugas sumber manusia sempena Sidang Kemuncak ASEAN di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL) pada Isnin.
Katanya, JSPT akan menggunakan sepenuhnya aset trafik termasuk motosikal pengiring, kereta peronda dan sistem On Board Camera (OBC) untuk memastikan tahap pematuhan dan keberkesanan kawalan.
Beliau berkata, pengujian aset-aset JSPT merangkumi 36 kereta peronda, 313 motosikal besar dan 190 motosikal kecil serta alat perhubungan radio termasuk elemen kembalik, akan diuji dalam masa terdekat.
“Raptai dry-run bagi pergerakan motoked akan bermula pada 21 hingga 22 Mei 2025 pada Rabu dan Khamis melibatkan elemen motoked, kawalan laluan, kawalan venue dan petugas,” katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), menghimpunkan 10 pemimpin negara anggota blok itu, bagi membincangkan isu serantau serta memupuk kerjasama ekonomi, selain memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan.
#sidang kemuncak #Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri #ASEAN25 #PDRM