Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Sidang kemuncak ASEAN: Penjawat awam tinggal dalam radius 25km dibenar bekerja dari rumah

Agensi 13/10/2025 | 10:50 MYT
Ketua jabatan diberi kuasa meluluskan permohonan BDR dan penjawat awam digalakkan berbincang untuk pertimbangan sewajarnya, selaras dengan prosedur dan syarat sedia ada.
KUALA LUMPUR: Penjawat awam yang tinggal dalam lingkungan 25 kilometer dari tempat kerja masing-masing dibenarkan untuk bekerja dari rumah (BDR) sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hujung bulan ini.


Ringkasan AI
  • Penjawat awam yang tinggal dalam lingkungan 25 kilometer dari tempat kerja dibenarkan bekerja dari rumah antara 23 hingga 28 Oktober sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
  • Ketua jabatan diberi kuasa meluluskan permohonan BDR dan penjawat awam digalakkan berbincang untuk pertimbangan sewajarnya, selaras dengan prosedur dan syarat sedia ada.
  • Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di Kuala Lumpur dijangka menjadi antara perhimpunan terbesar blok serantau, dengan pelaksanaan BDR bertujuan mengekalkan keseimbangan kerja dan kehidupan penjawat awam.


Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Ketua Jabatan telah diberi kuasa untuk meluluskan permohonan BDR bagi tempoh 23 hingga 28 Oktober bagi mengurangkan kesan kesesakan lalu lintas yang dijangka berlaku sepanjang acara antarabangsa itu.

“Penjawat awam yang layak digalakkan untuk berbincang dengan ketua jabatan masing-masing bagi pertimbangan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

JPA turut menegaskan bahawa pelaksanaan dasar ini perlu mematuhi prosedur dan syarat sedia ada yang ditetapkan di bawah peraturan semasa.

Menurut jabatan itu, inisiatif berkenaan bertujuan untuk mengimbangi keperluan operasi kerajaan dengan kesejahteraan penjawat awam, selaras dengan usaha mengekalkan keseimbangan antara kerja dan kehidupan.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mesyuarat berkaitan yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober ini dijangka menjadi antara perhimpunan terbesar yang pernah dianjurkan oleh blok serantau berkenaan.






#ASEAN #penjawat awam #Sidang Kemuncak ASEAN #BDR #kerja dari rumah