[TERKINI] Mohd Khalid Dilantik Ketua Polis Negara ke-15 – Ikuti Laporan Penuh di Sini
NATIONAL

Sidang Kemuncak ASEAN-GCC: Hubungan kukuh kunci tingkat kerjasama antara wilayah - PM

Hasimi Muhamad 27/05/2025 | 03:00 MYT
Sidang Kemuncak ASEAN-GCC kedua akan menjadi penting dalam memastikan perkongsian kekal dinamik, responsif dan berimpak, kata Perdana Menteri Anwar. - Foto/Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kerjasama antara ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kini lebih penting berbanding sebelum ini, dalam menghadapi landskap global yang semakin kompleks, ketidaktentuan ekonomi serta cabaran geopolitik.
Menurut Perdana Menteri, hubungan yang lebih kukuh antara kedua-dua rantau ini adalah kunci untuk meningkatkan kerjasama antara wilayah, membina ketahanan, dan memastikan kemakmuran yang mampan untuk rakyat.
Mewakili Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, beliau menambah, perbincangan pada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC kedua akan menjadi penting dalam memastikan perkongsian kekal dinamik, responsif dan berimpak.
"Marilah kita menggunakan Sidang Kemuncak hari ini untuk menegaskan semula cita-cita kolektif kita dan menterjemahkan visi bersama ke dalam kerjasama yang konkrit dan berimpak.
"ASEAN dan GCC mempunyai kemampuan serta tanggungjawab untuk bangkit sebagai sauh kestabilan dan pemangkin pertumbuhan masa depan.
"Saya menantikan pertukaran pandangan yang bermakna yang akan membuka jalan kepada inisiatif nyata di bawah kerjasama kita yang semakin kukuh dan berterusan," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan sempena Sidang Kemuncak ASEAN-GCC kedua yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.
Acara diplomatik bersejarah ini menghimpunkan pemimpin dari negara-negara ASEAN, dan GCC yang terdiri daripada Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Qatar, Bahrain, dan Oman.
Pemimpin-pemimpin GCC yang menghadiri sidang berkenaaan ialah Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud; Ahli Majlis Tertinggi UAE dan Pemerintah Ras Al Khaimah (RAK), Sheikh Saud bin Saqr Al Qasimi; Putera Mahkota Kuwait, Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah; Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani; Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Bahrain, Salman Hamad Al Khalifa (Bahrain); dan Timbalan Perdana Menteri untuk Hubungan Antarabangsa dan Hal Ehwal Kerjasama Oman, Sayyid Asaad bin Tarik al Said.
Katanya lagi, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC kali ini juga adalah peristiwa luar biasa dengan kehadiran pemimpin ASEAN dan wakil dari negara GCC yang paling dinamik.
"Ini bukti kepada kepercayaan dan persahabatan yang semakin kukuh antara dua blok berkenaan," ujar Anwar.
Anwar menambah pada 2023, GCC merupakan rakan dagang ketujuh terbesar ASEAN, dengan jumlah dagangan mencecah AS$130.7 bilion.
Jelas beliau, pelaburan juga menunjukkan pertumbuhan, mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap prospek jangka panjang kerjasama.
Selain Sidang Kemuncak ASEAN-GCC, turut dijadual berlangsung buat julung kalinya hari ini ialah Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China.
#ASEAN #ASEAN25 #ASEAN2025