Sidang Kemuncak ke-47 tumpu keupayaan Malaysia, ASEAN pertahan pendirian sederhana, kepusatan serantau

Anwar bersama Mohamad pada Majlis Taklimat Perdana Menteri Bersama Ketua-ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di Kementerian Kewangan hari ini. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, yang dijadual berlangsung hujung bulan ini, melakar sejarah tersendiri sebagai platform bagi menonjolkan keupayaan Malaysia serta ASEAN dalam mempertahankan pendirian sederhana selain memperkukuh prinsip kepusatan serantau.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sidang kali ini bukan sahaja menghimpunkan negara anggota ASEAN dan rakan dialog tradisional dari Asia seperti China, Jepun, Korea, India, Australia serta New Zealand tetapi turut disertai pemimpin rantau lain termasuk Kesatuan Eropah, Kanada, Amerika Syarikat, Brazil dan Afrika Selatan.
"Ini menunjukkan strategi baharu Malaysia dan ASEAN dalam membuka jaringan persahabatan serta perdagangan dengan rantau lain termasuk benua Afrika dan Amerika Latin terutama dengan kehadiran Presiden Cyril Ramaphosa (dari) Afrika Selatan dan (Presiden) Luiz Inacio Lula da Silva (dari) Brazil.
"Kehadiran Presiden (Amerika Syarikat) Donald Trump juga mengundang perhatian kerana isu tarif akan cuba dirungkai," katanya dalam Sesi Taklimat Perdana Menteri bersama Ketua-Ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di sini malam ini.Beliau berkata Perdana Menteri Thailand yang baharu dilantik, Anutin Charnvirakul, turut dijadual menghadiri sidang kemuncak kali ini dan mengadakan kunjungan pertama beliau ke Malaysia yang merupakan lawatan rasmi luar negara kedua sejak memegang jawatan pada 7 Sept lepas.
Perdana Menteri berkata Malaysia akan mengadakan sambutan dua hala untuk Anutin di Kompleks Seri Perdana sempena lawatan itu.
Beliau berkata selain itu, sidang kemuncak berkenaan dijangka disertai wakil-wakil Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) serta Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Gianni Infantino.
Anwar berkata selain beberapa ketetapan yang memerlukan input daripada rakan ASEAN, Malaysia akan membawa isu berkaitan kepusatan, perdagangan bebas dan keamanan dunia.
Beliau berkata Malaysia kini menjadi tumpuan antarabangsa sepanjang tahun Kepengerusian ASEAN, yang menyaksikan ratusan sidang dan ribuan mesyuarat peringkat pegawai diadakan, menjadikan 2025 antara tahun paling aktif dalam sejarah ASEAN.
"Saya banyak bergantung kepada Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) dan Kementerian Luar yang telah banyak menakhodai isu ini dan menyelenggarakan program serta perbincangan awal dengan rakan sejawat.
"Ini bagi saya satu kebanggaan kepada negara... merentas aspek diplomasi, geopolitik, perdagangan, pelaburan, kerjasama ekonomi, keselamatan, digital, kecerdasan buatan, komunikasi, penerangan dan tenaga.
"Semua dirungkai dalam mesyuarat sebelum dirumuskan strategi utama yang dibincang dan disahkan di peringkat ketua negara," katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt ini.
Lebih 30 ketua negara dan kerajaan akan berhimpun untuk membincangkan keamanan serantau, daya tahan ekonomi dan pertumbuhan inklusif di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan".
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami