NATIONAL
Sidang Khas Dewan Rakyat beri peluang kerajaan perjelas usaha tangani tarif AS

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi penerangan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sidang Khas Dewan Rakyat berkaitan isu tarif Amerika Syarikat (AS) hari ini memberi peluang kepada ahli parlimen untuk mendengar penjelasan daripada kerajaan mengenai usaha berterusan bagi menangani impak ketidaktentuan ekonomi global terhadap negara.
Ringkasan AI
- Sidang Khas Parlimen membincangkan impak tarif Amerika Syarikat, dengan Perdana Menteri menjelaskan bahawa ekonomi Malaysia kekal kukuh dan mampu menghadapi cabaran global.
- Beberapa Ahli Parlimen mencadangkan langkah seperti menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), mengurangkan import makanan, dan mempercepat pengumuman unjuran KDNK.
- Kerajaan akan menubuhkan Kaukus Parlimen dan mengambil alih pengurusan sijil eksport bagi memastikan ketelusan serta mencegah penipuan perdagangan.
Selain itu, Perdana Menteri turut menjelaskan mengenai bagaimana asas ekonomi negara yang kukuh pada masa kini selain meletakkan Malaysia dalam keadaan yang terkawal bagi menangani sebarang kejutan luaran dan tantangan kitaran ekonomi.
"Usaha yang berterusan dalam membina daya tahan ekonomi domestik membolehkan kita mencapai kestabilan ekonomi dengan ruang fiskal yang mencukupi. Ini membantu negara untuk berdepan dengan sebarang krisis ekonomi dan kewangan.
"Kerajaan yakin policy response (tindak balas dasar) yang berasaskan data dan terancang berupaya menangani ketidaktentuan semasa.
"Mekanisme pemantauan diaktifkan dan tindakan bersasar akan dilaksana mengikut keperluan bagi membantu rakyat dan perniagaan yang terjejas," kata Anwar yang juga Menteri Kewangan pada sidang khas berkenaan.
Perdana Menteri turut menjelaskan selain daripada langkah segera yang diambil, kerajaan MADANI juga dilihat harus mengatur langkah dan strategi untuk berdepan dengan senario global semasa bagi memastikan kestabilan ekonomi serta mempertahankan kepentingan negara bagi jangka masa pendek dan sederhana.
Selepas kira-kira 45 minit sesi penerangan Anwar, seramai 23 ahli Parlimen diberi tempoh antara lapan hingga 15 minit untuk membahaskan isu berkenaan.
Antara cadangan yang dikemukakan iaitu daripada Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang menggesa kerajaan mempercepat pengumuman unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebagai persediaan kepada sektor ekonomi bagi melakukan tindakan penyesuaian terhadap situasi.
Sementara itu, Lim Guan Eng (PH-Bagan) mencadangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM) diturunkan sebanyak 1.0 mata peratusan kepada 2.0 peratus daripada 3.0 peratus pada masa ini.
Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) pula meminta kerajaan membuat kajian supaya negara dapat mengurangkan import produk makanan dan pertanian.
Bagaimanapun, pada sesi penggulungan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan menerima baik cadangan untuk mewujudkan Kaukus Parlimen dengan keanggotaan terdiri daripada Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang.
Cadangan itu bagi memastikan berlaku ketelusan dalam rundingan dengan pihak AS.
Selain itu, beliau juga menerangkan rasional pengambilalihan pengurusan pengeluaran Sijil Tempasal Bukan Keutamaan (NPCO) oleh kerajaan bermula esok dari dewan-dewan perniagaan khususnya untuk destinasi AS.
Tengku Zafrul berkata Malaysia juga menolak keras sebarang penyalahgunaan sistem perdagangan antarabangsa termasuk pengeluaran Sijil Asal palsu atau mengelirukan yang bertujuan untuk mengelakkan tarif.
Ia berikutan laporan beberapa media berhubung dakwaan pengeksport dari China cuba mengelak tarif AS dengan 'mencuci asal' produk melalui negara ketiga seperti Malaysia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami