KUALA LUMPUR: Saluran berita yang dipercayai, Astro AWANI sekali lagi ke hadapan sebagai platform perantara isu yang paling kerap didebatkan dalam masyarakat terutamanya mengenai teknologi kecerdasan buatan (AI).

Kali ini, Astro AWANI bersama-sama Universiti Nottingham Malaysia (UNM) menganjurkan sidang meja bulat “Kewartawanan dalam Zaman Gangguan Kecerdasan Buatan” dengan menghimpunkan pemain industri bagi membincangkan implikasi pengunaan teknologi ini terutamanya dalam dunia penyampaian berita.

Perbincangan meja bulat ini mengumpulkan menyediakan lebih 50 wartawan mewakili pelbagai organisasi media, wakil akademik, masyarakat dan agensi kerajaan yang bersama-sama membincangkan implikasi AI terhadap kewartawanan dan masyarakat.

Acara yang dijalankan pada Khamis, di Pusat Pembelajaran UNM tidak hanya menghimpunkan panel tempatan, sebaliknya, beberapa wakil dari organisasi media utama antarabangsa turut menyumbang buah fikir dalam sesi kali ini.

Pada sesi pertama, kesemua panel membincangkan topik Menerima Perubahan Teknologi dalam Media Berita dan Pertimbangan Etika Al dalam Kewartawanan.

Sementara pada sesi kedua pula, ahli panel topik Ancaman dan Peluang AI dalam aplikasi penggunaan media pula menjadi tumpuan.

Menerusi kedua-dua sesi ini, sesi perbincangan dapat mengenal pasti potensi ancaman yang ditimbulkan oleh AI kepada model kewartawanan konvensional yang sudah lama diamalkan.

Dinobatkan sebagai Penggunaan Terbaik AI Dalam Pemberitaan pada acara Digital Media Asia 2024 baru-baru ini, Astro AWANI akan terus menjalankan peranannya sebagai organisasi media Malaysia yang terus memimpin perbincangan mengenai inovasi teknologi dalam bidang kewartawanan.