Sidec anjur Selangor Twin Accelerator 2025, anjak daya juang inovasi

Para pemenang menyambut kemenangan usai tamat Program Selangor Twin Accelerator 2025. - Foto Sidec
KUALA LUMPUR: Program Selangor Twin Accelerator 2025 anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) melabuhkan tirai pada Rabu dengan menobatkan syarikat pemula terbaik bagi dua kategori utama Deep-X dan Retail-X.
Acara yang berlangsung empat hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu menghimpunkan 24 finalis daripada 338 penyertaan, menampilkan inovasi dalam bidang kecerdasan buatan (AI),bandar pintar, F&B, serta penskalaan runcit.
Pemenang kategori Deep-X menerima trofi, lawatan inovasi ke Korea, akses pelaburan dan wang tunai, manakala pemenang Retail-X membawa pulang trofi, lawatan ke ByteDance/TikTok Shop di Shanghai, selain akses pelaburan dan ganjaran tunai.
Ketua Pegawai Eksekutif Sidec, Yong Kai Ping berkata, kejayaan para peserta tahun ini membuktikan potensi besar ekosistem inovasi di Selangor yang mampu melahirkan syarikat bertaraf global.Beliau menegaskan bahawa kekuatan utama program ini bukan sekadar pada idea baharu, tetapi pada pelaksanaan berdisiplin hasil bimbingan mentor, penilaian pengamal industri dan kolaborasi strategik yang membuka akses pasaran sebenar.
“Para pemenang hari ini membuktikan bahawa Malaysia mampu membina dan berkembang dari Selangor, sama ada deep tech dipacu AI mahupun pencabar runcit berimpak tinggi.
“Keunikan kohort kali ini bukan sekadar idea unik, tetapi pelaksanaan berdisiplin yang dibentuk oleh mentor, dinilai pengamal berpengalaman, dan dipercepatkan rakan strategik pasaran sebenar,” katanya.
Sementara itu, beberapa pemenang turut menyifatkan program Selangor Twin Accelerator 2025 sebagai platform penting untuk menilai hala tuju syarikat dan memperkukuh strategi perniagaan.

Antara pemenang kategori utama ketika sesi bergambar susulan menerima hadiah. - Foto Sidec
Pengasas SpectacleX Sdn Bhd, Daniel Lim berkata inisiatif ini membantu mereka mengenali kekuatan syarikat dengan lebih baik, manakala wakil CourtIQ Sdn Bhd, Muhammad Edris Qayyyum menekankan bahawa bimbingan mentor berpengalaman memberi nilai paling utama dalam mengelakkan kesilapan lazim yang dihadapi syarikat pemula.
“Saya rasa apa yang paling penting ialah kita dapat mengenali kekuatan syarikat kita sendiri dengan lebih baik dan kita juga lebih tahu hala tuju syarikat.
“Terima kasih kepada Sidec kerana menganjurkan acara yang begitu baik untuk kami,” kata Daniel Lim.
“Saya rasa perkara terbesar sudah tentu bimbingan. Mentor yang disediakan sangat berkaitan dengan sektor kami.
“Mereka telah melihat syarikat pemula datang dan pergi, serta menunjukkan bagaimana untuk mengelak daripada mengulangi kesilapan yang sama,” jelas Azri Raziq Abu Hassan Asaari.
Senarai pemenang Selangor Twin Accelerator 2025 mengikut kategori adalah seperti berikut:
Selangor Retail Tech Xccelerator Programme (Retail-X) – Pemenang Utama:

- Fikri Arif bin Ishak - Chief Executive Officer, ODC Food Industries Sdn Bhd
- Gan Chian Lern - Chief Executive Officer, HTFU Restaurants Sdn Bhd
- Ng Qi Hui - Managing Director, Laurels & Leafz Flora Sdn Bhd
- Mohd Fadhil Mohamad Ali - Chief Executive Officer, Alfa Consortium Sdn Bhd
- Lim Thain Chee - Managing Director, SpectacleX (M) Sdn Bhd
- Tan Wei Yi - General Manager, Mojomore (M) Sdn Bhd
- Gan Sze Min - Managing Director, PCIAB Global Sdn Bhd
- Daniel Jonathan Wallis - Chief Executive Officer, Citysage Sdn Bhd
- Lim Jing Jie - Chief Executive Officer, Dataverse Sdn Bhd
- Raheel Zubairi - Chief Executive Officer, Pixelence Sdn Bhd
- Shahrul Nizam bin Rahim - Chief Executive Officer, Viucom Sdn Bhd
- Lee Kok Lim - Chief Executive Officer, Paix Tech Sdn Bhd
- Azri Raziq bin Abu Hassan Asaari - Chief Executive Officer, CourtIQ Sdn Bhd
- Azaini Aizat bin Abdul Jalil - Chief Executive Officer, Flow Studios Sdn Bhd

Sesi bergambar ketika sesi pemberian token penghargaan. - Foto Sidec
Majlis penutup diserikan dengan kehadiran EXCO Pelaburan, Perdagangan & Mobiliti Negeri Selangor, Ng Sze Han; Ketua Pegawai Operasi Sidec, Loo Chuan Boon; Pengarah Eksekutif Perbankan Perusahaan Kumpulan Affin Bank Berhad, Fung Kai Jin serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle Fund, Norman Matthieu Vanhaecke.
Program Selangor Twin Accelerator 2025 ini dibangunkan melalui dua kategori utama iaitu Deep-X, yang menyokong syarikat berteraskan AI, mobiliti pintar, teknologi bio dan sifar bersih; serta Retail-X yang memperkasa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam segmen makanan dan minuman (F&B), kediaman, fesyen, kesihatan dan kesejahteraan.
Sidec turut berganding tenaga bersama Affin Group (Penaja Utama), Cradle (Rakan Program), Plug and Play APAC (Rakan Strategik Global), Xendit (Rakan Strategik Pembayaran) dan TikTok Shop (Rakan Strategik E-Dagang).
Edisi seterusnya bagi Selangor Twin Accelerator dijadual dibuka Januari 2026, untuk maklumat lanjut dan pendaftaran layari https://www.sidec.com.my/.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami