MALAYSIA
Sifat organik tanah gambut jadi cabaran dalam operasi pemadaman kebakaran - Pakar
Keringat jelas terpancar di wajah anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai dan Sungai Rengit di Kota Tinggi yang bertungkus lumus memadam kebakaran hutan di lokasi kejadian baru-baru ini. - Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Beberapa siri kebakaran terbuka yang berlaku di negeri ini sejak kebelakangan ini menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat, khususnya apabila kejadian melibatkan kawasan luas yang berpotensi menjejaskan keselamatan serta kesihatan awam.
Berdasarkan statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sebanyak 3,565 kes kebakaran terbuka diterima agensi itu di seluruh negara bagi tempoh 1 Jan lepas hingga semalam, dengan enam kebakaran terbuka berskala besar direkodkan di Johor sepanjang bulan ini.
Kejadian terbesar dilaporkan berlaku di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang, dekat Kota Tinggi membabitkan kebakaran tanah gambut seluas hampir 100 hektar yang berjaya dipadamkan sepenuhnya semalam.
Mengulas perkara itu, Ketua Pusat Penyelidikan Tanah Lembut (RECESS) Institut Kejuruteraan Integrasi (I2E), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Prof Dr Adnan Zainorabidin berkata kebakaran tanah gambut sememangnya antara cabaran alam sekitar paling kompleks berikutan sifat fizikal tanah organik itu sendiri yang berbeza secara ketara berbanding tanah mineral.
"Dari sudut operasi, kebakaran tanah gambut jauh lebih sukar dikawal berbanding kebakaran terbuka biasa kerana api tidak hanya merebak di permukaan, sebaliknya membakar lapisan bawah tanah bergantung kepada kedalaman gambut di sesuatu kawasan.
"Lapisan gambut yang kaya dengan bahan organik mudah terbakar membolehkan bara api tersembunyi terus membara walaupun api di permukaan kelihatan telah dipadamkan, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran berulang.
"Situasi ini diibaratkan seperti timbunan kayu atau sekam yang terbakar dari dalam, iaitu bara api masih wujud walaupun api luaran telah padam. Akibatnya, operasi pemadaman memerlukan strategi khas, penggunaan air dalam jumlah besar serta pemantauan berterusan dalam tempoh yang panjang," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata tempoh pemadaman yang lama turut dipengaruhi oleh kedalaman tanah gambut yang berbeza antara lokasi, dengan sesetengah kawasan mencatat kedalaman dua meter, manakala di kawasan tertentu boleh mencecah hingga 20 meter.
Adnan berkata bara api di lapisan bawah boleh terus membakar tanah gambut yang kering selama beberapa minggu atau bulan, menjadikan kebakaran sukar dikesan pada peringkat awal dan lebih berbahaya.
Dari perspektif sains tanah, katanya tanah gambut mempunyai ciri unik dengan kandungan kelembapan semula jadi yang tinggi, melebihi 100 peratus dan kajian intensif oleh UTHM mendapati kandungan kelembapan tanah gambut di Malaysia berada dalam julat antara 100 hingga 800 peratus.
"Namun, apabila berlaku cuaca panas berpanjangan dan taburan hujan rendah, kandungan air akan berkurangan, menjadikan struktur tanah yang ringan dan berongga sangat mudah terbakar," katanya.
Beliau berkata keadaan cuaca sedemikian bukan sahaja meningkatkan risiko pencetusan kebakaran, tetapi juga mempengaruhi kedalaman dan penyebaran api di dalam lapisan gambut, apabila haba diserap oleh bahan organik dan membolehkan bara api tersembunyi terus membara dalam jangka masa panjang.
Sementara itu, Profesor di Pusat Geokejuruteraan Tropika (GEOTROPIK), Kumpulan Penyelidikan Geoteknik (GRG), Fakulti Kejuruteraan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Ahmad Safuan A Rashid berkata kebakaran di kawasan tanah gambut sukar dikawal kerana sifat "membara" yang berlaku di bawah tanah, menjadikan usaha pemadaman lebih kompleks dan memerlukan strategi serta pemantauan berterusan.
Beliau berkata berbeza dengan kebakaran biasa, kebakaran tanah gambut merebak secara mendatar dan menegak dalam lapisan organik, dengan bara api boleh tersembunyi dan terus membara walaupun permukaan kelihatan telah padam.
"Keadaan cuaca panas dan taburan hujan rendah meningkatkan risiko kebakaran kerana tanah menjadi lebih kering, membolehkan api merebak ke lapisan bawah yang lebih tebal.
"Kebakaran tanah gambut merupakan penyumbang utama pelepasan karbon dan jerebu. Kebakaran bawah tanah ini bukan sahaja memberi kesan serius kepada ekosistem, kehilangan biodiversiti dan gangguan kepada sistem semula jadi, malah menyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau serta masalah jerebu yang menjejaskan kesihatan penduduk," katanya.
Bagi menangani risiko kebakaran berulang, beliau mencadangkan langkah jangka panjang seperti pemulihan hidrologi kawasan gambut, penyekatan saliran bagi mengekalkan kelembapan semula jadi, pemantauan berterusan terhadap bara api serta pendidikan komuniti mengenai kepentingan menjaga ekosistem gambut sebagai sinki karbon.
-- BERNAMA