Sijil vaksin palsu: Doktor dijangka bebas dengan jaminan polis esok

Nur Fazlizai Ali
Januari 12, 2022 09:27 MYT
Rohaimi berkata beberapa peralatan yang dirampas juga akan dihantar ke Bahagian Forensik Bukit Aman. - Gambar fail
KUALA TERENGGANU: Seorang doktor yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penjualan sijil vaksinasi palsu di Terengganu dijangka dibebaskan dengan jaminan polis esok.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, berkata ia sementara menunggu arahan selanjutnya daripada pihak pendakwaan.
Beliau berkata, tempoh tahanan reman doktor yang berusia 51 tahun itu juga akan berakhir pada esok.
Selain itu Rohaimi berkata beberapa peralatan yang dirampas juga akan dihantar ke Bahagian Forensik Bukit Aman.
"Barang-barang kes yang dirampas seperti laptop dan telefon bimbit akan dihantar ke Bahagian Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman esok," katanya di sini, hari ini.
Sijil Vaksinasi Palsu | Lima saksi tampil secara sukarela
BACA: Sijil vaksin palsu: Perintah tahanan reman doktor dilanjut
Sebelum ini suspek yang ditahan pada Sabtu direman selama tiga hari sehingga Selasa.
Bagaimanapun, polis memohon lanjutan reman terhadap suspek sebelum Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda membenarkan reman suspek ditambah dua hari lagi.
Terdahulu Polis Terengganu berjaya membongkar kegiatan penjualan sijil vaksinasi dipercayai palsu yang didalangi seorang doktor di klinik swasta di negeri ini.
Suspek dipercayai melakukan perbuatan itu sejak September tahun lalu selepas klinik berkenaan mendapat kebenaran mengendalikan suntikan vaksinasi secara berbayar.
Sepanjang tempoh tersebut, lebih 1,900 sijil vaksinasi COVID-19 dipercayai dikeluarkan kepada pelanggan yang berdaftar tapi tidak menerima suntikan vaksin termasuk dari Kuala Lumpur dan Kedah dengan kadar bayaran antara RM400 hingga RM600 seorang.
#sijil vaksin palsu #doktor antivaksin #Ketua Polis Terengganu #doktor dibebas