Sijil vaksin palsu: Doktor direman lagi berhubung kes penipuan

Astro Awani
Januari 14, 2022 06:34 MYT
Suspek direman selama dua hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Astro AWANI
MARANG: Seorang doktor swasta yang disyaki terbabit dalam kegiatan penjualan sijil vaksinasi COVID-19 palsu sekali lagi ditahan selepas tidak sampai 24 jam dibebaskan dengan jaminan polis.
Suspek berusia 51 tahun itu ditahan semula di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu kira-kira jam 12 tengah hari pada Khamis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu Superintendan M Zambri Mahmud berkata, penahanan yang dilakukan itu berikutan laporan dibuat mangsa yang mendakwa tidak menerima sijil berkenaan walaupun sudah membuat pembayaran.
Menurutnya, mangsa mendakwa sudah membuat pembayaran sebanyak RM450 dan dijanjikan status MySejahteranya sebagai penerima akan dikemas kini dalam tempoh 14 hari, bagaimanapun sehingga kini status tersebut berkenaan tidak berubah.
Katanya, susulan itu suspek direman selama dua hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda membenarkan suspek direman bermula Jumaat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Terdahulu, Polis Terengganu berjaya membongkarkan kegiatan penjualan sijil vaksinasi dipercayai palsu susulan penahanan seorang doktor yang pada Sabtu lalu.
Kegiatan itu dipercayai telah dilakukan sejak September tahun lalu dengan mengenakan cas bayaran antara RM400 hingga RM600.
#doktor antivaksin #sijil vaksin palsu #mahkamah #reman