Sijil vaksin palsu: Doktor swasta dan enam individu dibebaskan dengan jaminan polis

Astro Awani
Januari 15, 2022 09:27 MYT
Kesemua mereka ditahan reman susulan laporan polis dibuat mangsa yang mendakwa tidak menerima sijil berkenaan walaupun sudah membuat pembayaran. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Seorang doktor swasta dan enam lagi individu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penjualan sijil vaksinasi dipercayai palsu dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu arahan pendakwaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu,Superintendan M Zambri Mahmud berkata ia berikutan tempoh tahanan reman terhadap kesemua suspek berakhir hari ini.
Jelasnya sebelum ini doktor yang berusia 51 tahun itu direman selama dua hari manakala enam yang lain direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
BACA: Sijil vaksin palsu: Doktor direman lagi berhubung kes penipuan
BACA: Lima pembeli sijil vaksin palsu di Terengganu disiasat
Katanya kesemua mereka ditahan reman susulan laporan polis dibuat mangsa yang mendakwa tidak menerima sijil berkenaan walaupun sudah membuat pembayaran.
Sebelum ini, suspek utama yang dibebaskan dengan jaminan polis pada Khamis ditahan semula di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu tidak sampai 24 jam dibebaskan.
Manakala, enam suspek berusia 35 hingga 57 tahun itu direman selama tiga hari bermula Khamis.
Sijil Vaksin Palsu | Doktor direman sekali lagi, perdaya pembeli
Terdahulu polis Terengganu berjaya membongkarkan kegiatan penjualan sijil vaksinasi dipercayai palsu susulan penahanan seorang doktor yang pada Sabtu lalu.
Kegiatan itu dipercayai telah dilakukan sejak September tahun lalu dengan mengenakan caj bayaran antara RM400 hingga RM600.
#sijil vaksin palsu #doktor swasta #ditahan reman #Kuala Terengganu