[TERKINI] Kes Zara Qairina: JSJ Sahkan Pegawai Penyiasat Tidak Patuh SOP, Gagal Mohon Bedah Siasat – Ikuti Perkembangan Di Sini
MALAYSIA

Simpan burung dilindungi sebagai hobi, lelaki ditahan

Bernama 12/08/2025 | 12:40 MYT
Lelaki berusia 40-an itu ditahan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu dalam serbuan di sebuah rumah.
CHUKAI: Seorang lelaki yang menyimpan sembilan burung daripada spesies dilindungi tanpa kebenaran sebagai hobi ditahan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu dalam serbuan di sebuah rumah di sini, petang semalam.

Pengarahnya Loo Kean Seong berkata serbuan kira-kira pukul 3 petang itu dijalankan empat anggota Perhilitan bersama lima anggota Pasukan Polis Marin.

"Rampasan membabitkan dua burung serindit dan tujuh burung bayan puling. Suspek berusia lingkungan 40-an itu ditahan bagi membantu siasatan. Siasatan awal mendapati burung berkenaan disimpan sebagai hobi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 60(1) dan Seksyen 68(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyimpan hidupan liar daripada spesies dilindungi kerana ia menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan denda.

-- BERNAMA

#Lelaki ditahan #burung dilindungi #serindit #burung bayan #Perhilitan