Skip to main content

Malaysia

Simpanan Pendidikan MADANI bantu 258 murid Tahun 1 anak anggota ATM di Sabah

Murid Tahun 1 dalam kalangan anak anggota Angkatan Tentera Malaysia menerima manfaat daripada Simpanan Pendidikan MADANI 2026. Credit: LTAT
Malek Razak (baris depan, lima, kiri) dan dan Mohd Nizar (baris depan, enam, kiri) bergambar bersama sebahagian penerima manfaat daripada Simpanan Pendidikan MADANI 2026 pada majlis yang berlangsung di atas Kapal Diraja Kelantan di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, 4 Mac 2026. - Foto LTAT

KUALA LUMPUR: Seramai 258 murid Tahun 1 anak anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sabah menerima manfaat Simpanan Pendidikan MADANI 2026 dengan jumlah peruntukan RM10,700.

Serahan simpanan itu disempurnakan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman, dalam satu majlis di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, pada 4 Mac lalu, melibatkan 20 murid sebagai penerima simbolik.

Advertisement

Sepuluh lagi murid dari Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar menerima bantuan sama pada 5 Mac bersempena Majlis Berbuka Puasa Panglima Angkatan Tentera.

Penyerahan ini susulan penyerahan replika cek oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kepada tiga Panglima Perkhidmatan yang melibatkan 3,328 murid di seluruh negara dengan peruntukan keseluruhan RM166,400.

Setiap murid menerima RM50 yang dikreditkan ke akaun Simpan SSPN Prime sebagai permulaan tabungan pendidikan.

Inisiatif ini dilaksanakan Yayasan LTAT bersama PTPTN sebagai usaha memupuk budaya menabung dan mengukuhkan perancangan kewangan pendidikan keluarga ATM.

Penerima juga layak menikmati perlindungan takaful percuma jika mengekalkan simpanan minimum RM1,000.

Dalam majlis sama, Panglima Angkatan Tentera turut menyampaikan sumbangan kepada waris mendiang anggota Unit Lapang Sasar Kota Belud serta dua keluarga anggota yang menghidap penyakit kronik.

Program ini merupakan komitmen berterusan bagi memperkasa kebajikan dan pendidikan anak-anak warga ATM sejak diperkenalkan pada 2024.

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Eksekutif Yayasan LTAT Datuk Dr Mohd Nizar Sudin serta kepimpinan kanan ATM, PTPTN Sabah dan Yayasan LTAT.

Must Watch Video