KUALA LUMPUR : Sebarang pengeluaran tambahan baharu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sama ada secara bersasar atau terbuka akan memburukkan lagi isu ketidakcukupan simpanan persaraan yang kini berada dalam tahap yang amat membimbangkan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu ketidakcukupan simpanan KWSP perlu diberi perhatian yang serius ketika negara kini sedang menghadapi fenomena penuaan penduduk yang pantas.

Susulan itu, kata Perdana Menteri, menerusi Belanjawan 2023, kerajaan sedang mencari jalan yang lebih sesuai bagi mengurangkan beban rakyat tanpa mengeluarkan simpanan KWSP.

Beliau berkata, implikasi bagi empat kemudahan pengeluaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberikan kesan jangka panjang iaitu pengurangan jumlah simpanan persaraan yang ketara kepada ahli-ahli yang terlibat.

"Sehingga 31 Disember 2022, seramai 6.7 juta ahli atau 51 peratus daripada keseluruhan ahli KWSP di bawah umur 55 tahun hanya mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000 di dalam akaun KWSP selepas pengeluaran berkenaan.

"Amaun ini menyebabkan ahli memperoleh pendapatan persaraan yang kurang daripada RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun.

"Selain itu, keempat-empat pengeluaran khas ini telah menyebabkan penurunan yang ketara dalam peratusan ahli aktif yang mencapai Simpanan Asas (RM240,000 pada usia 55 tahun) daripada 36 peratus pada tahun 2020 kepada 29 peratus pada akhir tahun 2022," katanya melalui jawapan bertulis semasa persidangan Dewan Rakyat pada Jumaat.

Perdana Menteri mengulas soalan bertulis Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin yassin yang mahu tahu adakah kerajaan akan membenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar bagi meringankan beban kehidupan rakyat.

Situasi itu, katanya, secara langsung menunjukkan 71 peratus atau lebih dua pertiga daripada ahli aktif mencarum berumur 55 tahun dan ke bawah berada dalam situasi yang serius, di mana jumlah dana mereka tidak cukup untuk bersara melebihi paras kemiskinan.

"KWSP menganggarkan ahli perlu bekerja antara empat sehingga enam tahun tambahan untuk membina semula simpanan yang telah dikeluarkan semasa pandemik.

"Di samping itu, pengeluaran tambahan baharu memerlukan KWSP untuk menyediakan aliran tunai bagi menampung amaun pengeluaran yang besar tersebut. KWSP perlu mengambil langkah-langkah pengimbangan portfolio dengan mengambilkira pegangan tunai semasa, kecairan dan kematangan pegangan instrumen-instrumen berpendapatan tetap selain memperlahankan aktiviti pelaburan domestik.

"Ini menyebabkan kekangan bagi penyertaan ke dalam peluang-peluang pelaburan baharu dan akan memberikan kesan secara langsung dari segi kehilangan potensi pulangan jangka masa panjang yang turut menjejaskan peluang bagi menjana pendapatan untuk tujuan pembayaran dividen kepada ahli pada masa hadapan," ujarnya lagi.

Katanya lagi, statistik KWSP menunjukkan peningkatan ketara dari segi bilangan ahli dan majikan yang aktif mencarum, pendaftaran ahli dan majikan baharu serta jumlah caruman setakat Disember 2022.

"Bilangan ahli aktif KWSP menunjukkan peningkatan sebanyak 9 peratus kepada 8.39 juta berbanding 7.69 juta pada bulan Disember 2021; bilangan majikan aktif juga menunjukkan peningkatan sebanyak 7 peratus kepada 588,714 berbanding 550,825 pada tahun sebelumnya; dan berbanding tahun 2021, pendaftaran ahli dan majikan baharu pada tahun 2022 telah meningkat daripada 421,643 kepada 635,989 untuk ahli baharu dan 72,518 kepada 93,669 bagi majikan baharu," tambahnya.