MUAR: Semasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Pilihan Raya Kecil (PRK) bakal diadakan di Simpang Jeram, ada yang tersalah anggap menyangkakan ia akan diadakan di Simpang Renggam, dek kerana bunyinya yang seakan-akan sama.

Namun, hakikatnya ia merupakan dua kawasan berbeza kerana Simpang Renggam adalah kawasan Parlimen yang terletak dalam daerah Kluang, manakala Simpang Jeram merupakan satu daripada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terletak di bawah Parlimen Bakri, Muar.

Dahulunya Simpang Jeram dikenali sebagai DUN Sungai Abong, sebelum persempadanan semula dibuat pada 2018.

Berdasarkan data Jabatan Perangkaan pada 2022, keluasan Simpang Jeram hanyalah 36 kilometer persegi dengan kepadatan penduduk 1,857 orang per satu kilometer persegi pada 2020.

Seramai 68.5 peratus daripada penduduk berusia 18 tahun ke atas, 65 tahun ke atas (6.3 peratus) dan 14 tahun ke bawah (25.7 peratus), dengan 52.3 peratus daripadanya adalah kaum Bumiputera dan 45.4 peratus Cina yang menjadi taruhan pengundi pada pilihan raya nanti.

Mendapat tempias pembangunan pesat daripada Bandar Maharani, Bandar Diraja, dan kawasan sekitar, Simpang Jeram, kini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas untuk kemudahan kira-kira 67,000 penduduk termasuk 40,379 pengundi berdaftar yang direkodkan di kawasan ini.

Antara kemudahan asas yang termasuk lebih 20 sekolah rendah dan menengah, taman bimbingan kanak-kanak, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), klinik kesihatan, klinik desa, balai polis, pejabat pos, masjid, surau, kuil/tokong, sekali gus menjadikannya antara kawasan yang ideal dan 'tenang-tenang' sahaja untuk diduduki, terutamanya golongan pesara.

"Saya memang suka duduk di sini, kemudahan asas semua ada, dan dalam taman perumahan ini pun ramai orang pencen tinggal," kata Onn Jaafar, 65, pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sambil menunjukkan rumah jirannya yang merupakan pesara guru dan polis di Taman Sri Terap, baru-baru ini.

Hampir kebanyakan kampung di bawah DUN ini, terletak di bawah Mukim Bakri, misalnya Kampung Jeram Tepi, Kampung Batu 6 Bakri, Kampung Batu 5, Kampung Batu 3, Kampung Simpang Jeram, dengan dua pusat perniagaan utama iaitu pusat perniagaan Bakri dan Sialin.

Dek kesuburan tanah di kawasan ini, pelbagai jenis tanaman diusahakan di Simpang Jeram dengan yang terbanyak kelapa sawit melebihi 2,000 hektar, diikuti tanaman kecil-kecilan seperti getah, tebu, kopi, rambutan, selain tapak semaian bunga.

Hampir kebanyakan penduduk di kawasan ini pula bekerja sendiri dan mengusahakan industri kecil-kecilan seperti kedai runcit, kedai makan, jahitan, gunting rambut, tapak semaian, selain menjual kuih muih, selain turut terlibat dalam sektor perkilangan seperti perabot, selain di sektor awam, swasta.

Sementara itu ketika ditemui Bernama, rata-rata penduduk menyuarakan isu perparitan dan banjir kilat, sebagai masalah yang membelenggu kawasan ini, namun ia tidaklah seteruk keadaan yang berlaku pada sekitar belasan tahun yang lepas.

Masalah lain yang turut dinyatakan adalah isu kesesakan trafik pada musim tertentu di sepanjang Jalan Bakri menuju ke bandar Muar.

Bagi Ir Nazri Abdul Rahman, calon Pakatan Harapan (PH) pada PRK Simpang Jeram yang juga bekas Ketua Jurutera di Majlis Perbandaran Muar, dengan saiz keluasan kawasan Simpang Jeram yang agak kecil, beliau melihat tiada isu yang terlalu besar, manakala isu banjir kilat pula sudah ditangani lebih baik berbanding dahulu.

"Selain isu banjir yang telah dan sedang diambil langkah penyelesaiannya oleh pihak berkuasa tempatan, masalah penduduk di sini lebih kepada isu-isu kecil sahaja seperti lopak, lampu jalan, elektrik, sebagai jurutera kawasan ini itu kita ada tubuh pasukan petugas melaksanakan kerja baik pulih dengan segera tidak melebihi 24 jam," katanya.

Bagi Pensyarah di Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) Universiti Tun Hussien Onn (UTHM) Prof Dr Razali Hassan, status Muar yang terkenal sebagai pusat pengeluaran industri perabot terbesar di Malaysia, seharusnya dilihat sebagai satu peluang untuk memperkasakan TVET di kawasan sekitar.

"Wujudkan satu infrastruktur yang boleh bantu belia tempatan untuk terlibat sama dalam industri perabot seperti kemudahan asrama, pusat latihan berkaitan sekitar Muar dan Pagoh.

"Ini bagi menarik minat anak muda termasuk di kawasan Simpang Jeram untuk tidak berhijrah ke luar seperti ke Singapura untuk mencari pekerjaan, memandangkan sekarang ini industri perabot di Muar juga banyak didominasi warga asing," katanya.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka di dua kerusi itu berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK bagi kedua-dua kerusi itu diadakan serentak dengan hari pengundian awal pada 5 Sept diikuti hari pengundian 9 Sept.

-- BERNAMA