MALAYSIA

Sindiket ‘carrier’ bawa masuk migran di KLIA Terminal 2 terbongkar

Umavathi Ramayah 02/12/2025 | 10:32 MYT
Lelaki itu dikesan cuba membawa masuk seorang lelaki warganegara Saint Kitts and Nevis serta seorang wanita warganegara China. - Facebook Jabatan Imigresen Malaysia
KUALA LUMPUR : Seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai ‘carrier’, dengan membawa masuk migran secara tidak sah ke negara ini, ditahan dalam satu operasi khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), pada Isnin.

Dalam operasi yang dijalankan hasil risikan selama dua minggu itu, turut ditahan seorang lelaki warga Saint Kitts and Nevis serta seorang wanita dipercayai rakyat China.

Semakan awal mendapati kedua-dua warga asing berkenaan memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) yang masih sah.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, siasatan mendapati modus operandi sindiket itu dilakukan dengan membawa migran ke kaunter tertentu yang dikenal pasti bagi melancarkan pemeriksaan imigresen.

Beliau berkata, ‘carrier’ akan memberikan arahan kepada migran termasuk menentukan laluan yang perlu diikuti serta menyediakan lakaran kedudukan kaunter atau gambar panduan bagi memastikan mereka tidak tersilap arah.

Menurutnya, pegawai yang bertugas di kaunter pemeriksaan imigresen turut disyaki memiliki maklumat awal mengenai ketibaan migran tersebut, apabila ‘carrier’ dipercayai menghantar gambar pakaian migran melalui aplikasi WhatsApp untuk memudahkan proses pengecaman.

"Siasatan turut mendedahkan ‘carrier’ akan memerhati dari jauh pergerakan migran sehingga mereka melepasi kaunter pemeriksaan, sebelum dia sendiri menuju ke kaunter lain bagi mengelakkan kecurigaan.

"Selepas prosedur selesai, ‘carrier’ dan migran akan bertemu semula di pintu balai ketibaan sebelum keluar bersama dari kawasan KLIA2," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Zakaria menambah, sepanjang berada di terminal, komunikasi antara mereka hanya dilakukan melalui isyarat tangan bagi mengaburi pihak berkuasa.

Menurut beliau, aktiviti migran itu dipercayai beroperasi sejak tiga bulan lalu.

Dalam operasi tersebut, pihak Imigresen turut merampas masing-masing satu pasport China, satu pasport Saint Kitts and Nevis, satu pasport Malaysia, cap keselamatan imigresen, beberapa telefon pintar serta wang tunai RM23,100.

Kesemua individu yang ditahan berusia antara 25 hingga 34 tahun dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.


#Imigresen #Jabatan Imigresen Malaysia #migran #pemerdagangan manusia