GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket mencuri kenderaan model lama yang aktif di sekitar negeri itu, Kedah dan Perak.

Ia selepas  penahanan sembilan lelaki dipercayai ahli sindiket berkenaan dalam serbuan di beberapa lokasi menerusi Op Lejang Mutiara pada 2 April hingga 8 April lepas.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, sindiket berkenaan aktif sejak Januari lepas dan menyasarkan kenderaan lama sebelum dijual sebagai alat ganti kenderaan lain.

Fisol berkata, tangkapan pertama dilakukan di susur keluar Kubang Semang - KM 11.8 Lebuhraya BKE, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang pada 2 April lepas.

Susulan tangkapan tersebut polis menahan lima lagi lelaki di rumah sewa di Bedong, Kedah pada 7 April lalu.

Siasatan mendapati, modus operandi kumpulan berkenaan adalah mencuri kenderaan lama dengan cara menggunakan peralatan ‘Master Key’.

"Tumpuan lebih kepada kenderaan lama, lebih kepada untuk (mendapatkan) spare part. Dalam serbuan dan tangkapan di Kuala Ketil, kita berjaya merampas enjin Proton Saga. Ini semua barang rare, mungkin permintaan di luar sana untuk alat ganti (bagi kenderaan seumpamanya).

"Dari barang kes yang kita tengok, kita dapat semua kenderaan lama seperti Proton Waja Proton Saga, motosikal EX5... semua adalah kategori kenderaan lama," ujar beliau.

Katanya, semua suspek warga tempatan berusia antara 31 hingga 40 tahun itu dipercayai berasal dari Kedah dan ada yang bekerja sebagai mekanik.

Fisol berkata, polis percaya dengan penahanan kumpulan terbabit, 18 kes curi kenderaan lama di tiga negeri berjaya diselesaikan.

"Kita telah berjaya menyelesaikan 18 kes kecurian kenderaan, 13 kes di Pulau Pinang, lima kes di Kedah dan Perak. Daripada sembilan tangkapan tersebut, empat daripadanya positif dadah methamphetamine," ujar beliau.

Semakan juga mendapati kesemua individu tersebut mempunyai rekod berkaitan dadah dan jenayah lampau.

Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas tiga buah lori, tiga buah kereta, lima buah motosikal dan sebuah enjin kereta yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Turut dirampas dua pucuk pistol tiruan, sepasang gari bersama anak kunci, tujuh buah telefon bimbit pelbagai jenama serta enam rangkai kunci kenderaan.

Kesemua mereka direman bagi membantu siasatan mengikut seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri kenderaan motosikal.

Dalam masa, Fisol berkata, pihak polis juga sedang mencari ahli sindiket yang masih bebas dikenali sebagai M. Sanjev bagi membantu siasatan.

Beliau berkata demikian pada sidang  media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di Georgetown pada Isnin.