[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Sindiket dadah antarabangsa tumpas, hampir satu tan fentanyl dirampas

Bernama 23/09/2025 | 11:10 MYT
Hussein berkata rampasan menerusi Op Black Ash dan Op Black Wood itu turut menyaksikan empat lelaki tempatan serta dua lelaki dan dua perempuan warganegara asing berusia antara 19 hingga 55 tahun ditahan. - Bernama
SHAH ALAM: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa selepas merampas lebih 1,000 kilogram (kg) dadah jenis fentanyl serta pelbagai dadah lain bernilai RM32.14 juta dalam dua serbuan di sekitar Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor pada 19 dan 23 Ogos lepas.


Ringkasan AI
  • Polis merampas lebih 1,000kg dadah termasuk fentanyl dan pelbagai jenis dadah lain bernilai RM54.18 juta dalam enam operasi khas di Negeri Sembilan, Melaka, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor antara Ogos hingga September, melibatkan penahanan 24 individu tempatan dan asing.
  • Rampasan terbesar melibatkan 961.8kg fentanyl dalam Op Black Ash, dadah berbahaya yang 100 kali ganda lebih kuat daripada morfin dan heroin, dipercayai untuk pasaran tempatan dan negara jiran serta digunakan dalam bentuk pil dan campuran rokok elektronik.
  • Sindiket menggunakan modus operandi penghantaran kargo melalui Pelabuhan Klang dengan deklarasi palsu, dan telah bergiat aktif hampir 10 bulan sebelum ditumpaskan melalui operasi bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata rampasan menerusi Op Black Ash dan Op Black Wood itu turut menyaksikan empat lelaki tempatan serta dua lelaki dan dua perempuan warganegara asing berusia antara 19 hingga 55 tahun ditahan.

Beliau berkata kesemua dadah yang dirampas dibawa masuk melalui sebuah pelabuhan di Selangor melibatkan sindiket sama dari luar negara, dipercayai untuk pasaran tempatan dan negara jiran.

"Dalam Op Black Ash bermula 2.20 hingga 5.10 petang pada 19 Ogos di sekitar Negeri Sembilan dan Melaka, polis merampas satu cecair dadah baharu jenis fentanyl seberat 961.8kg bernilai RM30.7 juta.

"Ini adalah cubaan pertama yang berjaya dipatahkan di Malaysia dan dadah fentanyl ini sangat berbahaya, lebih 100 kali ganda kuat berbanding morfin dan heroin," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hussein berkata fentanyl adalah jenis dadah yang menjadi punca utama kematian akibat pengambilan dadah berlebihan di Amerika Syarikat dan Kanada.

Beliau berkata sindiket berkenaan menggunakan modus operandi penghantaran kargo melalui Pelabuhan Klang dengan membuat deklarasi palsu sebelum dadah itu dipecahkan kepada dua konsainan untuk dihantar kepada kumpulan berbeza.

Menurut Hussein, siasatan mendapati fentanyl itu diproses dalam bentuk cecair dan serbuk sebelum dijual dalam pasaran.

"Kami percaya serbuk daripada dadah ini dijadikan pil manakala cecair pula digunakan sebagai campuran untuk rokok elektronik (vape)," katanya.

Berhubung Op Black Wood, Hussein berkata menerusi operasi pada 23 Ogos bermula 1.30 petang hingga 9.45 malam di sekitar Selangor itu, polis merampas pelbagai jenis dadah seperti pil dan serbuk ekstasi, ketamin, MDMA serta pil eramin 5 dengan berat keseluruhan 75.09kg bernilai RM2.7 juta.

Hussein berkata selain dua operasi itu, pihaknya turut menjalankan lima operasi khas lain iaitu Op Ceylon, Op Blackbutt, Op Black Birch dan Op Cengal sepanjang Ogos hingga September.

Beliau berkata menerusi Op Ceylon pada 7 Sept di Lembah Klang dan Muar, Johor, polis menahan lima lelaki tempatan dan dua warganegara asing serta merampas 132.862kg dadah bernilai RM3.3 juta.

Dalam Op Blackbutt pada 9 Sept di Selangor, Hussein berkata polis berjaya merampas 202.59kg methamphetamine bernilai RM6.76 juta serta menahan tiga lelaki tempatan.

Beliau berkata sehari kemudian, polis melaksanakan Op Black Birch di Sungai Besi, Kuala Lumpur serta berjaya menahan dua lelaki tempatan dan merampas 103.33kg methamphetamine bernilai RM3.32 juta.

"Dalam Op Cengal pada 12 Sept di Lembah Klang, polis menahan tiga lelaki tempatan dan seorang wanita tempatan dengan rampasan 230.67kg methamphetamine bernilai RM7.4 juta," katanya.

Hussein berkata secara keseluruhan, enam operasi khas itu menyaksikan penahanan 24 individu berusia antara 19 hingga 55 tahun, melibatkan 17 lelaki tempatan, dua lelaki warga asing, empat wanita warga asing dan seorang wanita tempatan.

"Jumlah rampasan keseluruhan adalah 1,706.35kg melibatkan pelbagai jenis dadah dengan nilai pasaran dianggarkan RM54.18 juta," katanya, sambil menambah sindiket terbabit bergiat aktif hampir 10 bulan.

-- BERNAMA



#PDRM #sindiket dadah antarabangsa #fentanyl #Hussein Omar Khan