MALAYSIA

Sindiket dadah helium-MDMA ditumpaskan, empat ditahan

Kabeer Aziz 09/02/2026 | 03:50 MYT
Dalam serbuan pada Ahad, polis Kuala Lumpur merampas lima tong gas bertulis helium disyaki berisi dadah MDA, tiga peket plastik berisi serbuk disyaki MDMA dan empat kartrij disyaki methamphetamine. - Foto Polis KL
KUALA LUMPUR: Pasukan Kuala Lumpur Police Strike Force berjaya menumpaskan aktiviti pengedaran dadah yang menggunakan tong gas bertulis helium sebagai modus operandi, dalam serbuan di sebuah kediaman di Jalan Tun Razak, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata dadah yang dijual menggunakan tong gas dan belon itu dipercayai untuk kegunaan pelanggan di kelab malam sekitar ibu negara.

Serbuan jam 5.30 petang itu membawa kepada penahanan tiga individu warga asing - dua warga China, seorang warga Hong Kong - berusia 26 hingga 36 tahun, yang dipercayai aktif mengedar dadah di sekitar ibu kota sejak tiga bulan lalu.

Dalam serbuan tersebut, polis merampas lima tong gas bertulis helium disyaki berisi dadah MDA, tiga peket plastik berisi serbuk disyaki MDMA, dan empat kartrij disyaki methamphetamine.

Saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif amphetamine, methamphetamine dan ketamin.

Siasatan lanjut turut membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun di lokasi sama.

Antara rampasan tambahan termasuk 14 kotak berisi botol gas dipercayai MDMA, tujuh bungkusan belon, sebuah kereta Perodua, sejumlah dadah seberat 58.24 kilogram, dengan nilai rampasan berjumlah RM69,491.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1), dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesemua suspek direman mulai hari ini (9 Feb).

Fadil menegaskan bahawa polis tidak akan berkompromi dengan mana‑mana pihak yang terlibat dalam pengedaran atau perlindungan aktiviti dadah.

Orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03‑2115 9999 atau balai polis berhampiran.





#sindiket pengedaran dadah #jenayah #Polis Kuala Lumpur #Dadah