MALAYSIA

Sindiket edar bunga ganja RM8.67 juta tumpas, lapan termasuk pasangan suami isteri ditahan

Bernama 10/11/2025 | 10:15 MYT
PDRM berjaya menahan enam lelaki warga tempatan, seorang lelaki warga asing dan seorang wanita warga asing yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah berkenaan. - Facebook PDRM Pulau Pinang
GEORGE TOWN: Polis menumpaskan sindiket pengedaran bunga ganja bernilai RM8.67 juta selepas menahan lapan individu termasuk sepasang suami isteri dalam dua serbuan di Bukit Mertajam, antara 10 malam 4 Nov hingga 6 petang, 5 Nov lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata dalam serbuan pertama di sebuah inap desa polis menahan lima lelaki rakyat tempatan serta seorang lelaki warga United Kingdom berketurunan Pakistan sebelum membuat tangkapan susulan ke atas seorang lelaki tempatan dan seorang wanita rakyat Thailand di tepi jalan kawasan sama.

Beliau berkata pemeriksaan di inap desa itu, menemukan 17 bagasi mengandungi bungkusan disyaki dadah jenis bunga ganja dianggarkan seberat 47.7 kilogram (kg).

"Sindiket dipercayai membawa masuk dadah berkenaan melalui jalan darat dari negara yang bersempadan dengan satu negeri di Pantai Timur dan dipercayai menjadikan inap desa itu sebagai lokasi penyimpanan dan pembungkusan semula.

"Berdasarkan siasatan kita tidak menolak kemungkinan Pulau Pinang dijadikan transit sebelum dadah berkenaan dibawa keluar untuk pasaran pasaran luar negara," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.

Azizee berkata semua suspek berusia antara 20 hingga 37 tahun itu berperanan sebagai transporter dengan lelaki tempatan dan isterinya warga Thailand turut menjadi dalang kepada sindiket terbabit serta mempunyai sebuah kedai makan di Negeri Sembilan.

Suspek lain bekerja sebagai beach boy, penghantar makanan manakala lelaki warga UK itu dipercayai menjadi keldai dadah dan mereka menerima bayaran antara RM9,000 hingga RM15,000 bagi setiap penghantaran.

"Berdasarkan siasatan sindiket ini baru aktif pertengahan Oktober lepas dan dipercayai kali pertama membawa masuk bekalan ke sini. Kesemua dadah itu turut dilabelkan dengan perisa bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya sambil menambah dadah itu boleh digunakan oleh 500,000 orang.

Dua kereta jenis Honda Civic dan Toyota Estima bernilai RM210,000 turut disita dengan jumlah rampasan dan sitaan ialah RM8.88 juta.

Beliau berkata kesemua suspek negatif dadah, namun empat daripada mereka didapati mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.

Kesemua suspek direman tujuh hari hingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

-- BERNAMA

#bunga ganja #sindiket pengedaran #polis pulau pinang #pulau pinang #lapan individu ditahan