GEORGE TOWN: Sindiket pengedaran dadah jenis heroin tumpas selepas polis menahan tiga lelaki dalam tiga serbuan di Seberang Perai Selatan (SPS) dan Kuala Kurau, Perak Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang Asisten Komisioner Mohd Shukairy Abd Sabhe berkata, dalam serbuan itu, polis merampas heroin seberat 9.03 kilogram bernilai RM120,000.

Menurut Mohd Shukhairy, aktiviti tersebut terbongkar apabila polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun, selepas dia cuba melarikan diri dengan kereta jenis Volkswagen Passat dalam kejadian di Jalan Besar, Nibong Tebal pada jam 3.50 petang.

Hasil pemeriksaan lanjut, pihak polis menemui dadah jenis heroin anggaran berat 9,030 gram yang dianggarkan bernilai RM120,000.00 disembunyikan di dalam kereta tersebut.

Susulan penahanan lelaki pertama, polis kemudian membuat serbuan di Nibong Tebal dan Kuala Kurau serta menahan dua lagi suspek masing-masing berusia 53 dan 36 tahun.

"Saringan awal polis mendapati ketiga-tiganya suspek positif dadah jenis Methamphetamine selain mempunyai rekod lampau di bawah kesalahan dadah serta jenayah.

"Sindiket ini dipercayai mula aktif sejak awal Januari tahun 2022. Jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 45,000 orang penagih dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di George Town pada Jumaat.

Selain rampasan dadah, wang tunai berjumlah RM50,000 dan sebuah kenderaan bernilai RM80,000 turut disita polis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek pertama direman selama tujuh hari bermula 16 hingga 22 Jun ini.

Manakala dua lagi suspek disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.