Sindiket kartel projek: SPRM tahan pegawai kanan agensi kerajaan

Astro Awani
April 6, 2021 03:32 MYT
Suspek dipercayai menerima rasuah untuk membocorkan maklumat berhubung spesifikasi projek kepada ketua sindiket bagi memudahkan penyediaan dokumen tender. - Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Seorang pegawai kanan sebuah agensi kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi setelah dipercayai terlibat dalam sindiket kartel projek yang berjaya ditumpaskan baru-baru ini.
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, individu berusia 38 tahun itu bekerja sebagai juru ukur bahan gred 48 dan dipercayai terlibat dalam kerja-kerja penyediaan Bill of Quatity (BQ) bagi projek-projek yang ditawarkan agensi terbabit.
Difahamkan, suspek dipercayai menerima rasuah untuk membocorkan maklumat berhubung spesifikasi projek-projek kepada ketua sindiket bagi memudahkan penyediaan dokumen-dokumen tender.
[TERKINI] SPRM tahan seorang pegawai kanan agensi kerajaan
Menurut Azam, penahanan ke atas pegawai itu dibuat pada lewat malam semalam di rumahnya di Ampang.
Hasil risikan mendapati suspek disyaki menerima rasuah sebanyak RM300,000 bagi maklumat yang disalurkan kepada ketua sindiket.
Setakat ini, sebanyak empat kali pembayaran iaitu anggaran RM1.2 juta telah dibayar kepada suspek.
Bagaimanapun, siasatan sedang dijalankan dan dipercayai lebih ramai lagi individu akan ditahan.
#Azam Baki #SPRM #pegawai kanan #agensi kerajaan #terima rasuah #Datuk Seri Azam Baki #dokumen tender #Sindiket kartel projek