KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,421 kes melibatkan sindiket yang menyamar sebagai pegawai kerajaan melalui panggilan telefon dikesan sepanjang Januari hingga 15 September lalu.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, nilai kerugian dianggarkan mencecah RM57.37 juta secara keseluruhan.

Katanya, sindiket tersebut akan menghubungi mangsa dan menyamar sebagai pegawai daripada pelbagai agensi kerajaan seperti polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), mahkamah, kastam atau Kementerian Kesihatan melalui panggilan tersebut.

"Seterusnya, sindiket akan cuba menakutkan mangsa dengan memaklumkan penglibatan mangsa dalam siasatan kes jenayah, mangsa yang terpedaya kemudian diarah menyerahkan maklumat perbankan seperti kata laluan, ID Pengguna, nombor kad ATM, dan nombor TAC dengan alasan untuk siasatan pihak berkuasa.

"Mangsa juga diarahkan memindahkan wang ke akaun bank pihak ketiga (keldai akaun) yang kononnya milik pegawai Bank Negara untuk tujuan siasatan dan dijanjikan wang tersebut akan dikembalikan semula selepas beberapa hari.

"Mangsa hanya menyedari telah ditipu selepas mendapati wang tersebut tidak dikembalikan," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohd Kamarudin mengingatkan orang ramai bahawa pihak berkuasa tidak akan berurusan melalui panggilan telefon terutama melibatkan siasatan.

Jelasnya, Jabatan kerajaan khususnya polis hanya akan berhubung melalui telefon untuk membuat janji temu dan urusan lanjut dibuat di pejabat kerajaan yang berkaitan.

"Sebarang maklumat peribadi seperti kad pengenalan, nombor akaun, kata laluan perbankan atau jumlah wang di dalam akaun bank juga tidak akan diminta melalui panggilan telefon.

"Justeru, polis menggesa orang ramai untuk lebih berhati-hati ketika berurusan melalui panggilan telefon," ujarnya.

Sebarang kemusykilan atau pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi CCID Response Center di talian 03-26101559 / 1599.