[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
MALAYSIA

Sindiket pelaburan saham palsu tumpas, 10 warga tempatan ditahan

Bernama 23/06/2025 | 06:50 MYT
Muhamad Farid (tengah) menunjukkan barang rampasan dalam serbuan polis. - Gambar/ Bernama
SERDANG: Polis menahan 10 warga tempatan disyaki terlibat dengan sindiket penipuan pelaburan saham mata wang asing, yang menyebabkan kerugian sehingga RM399,787 dalam serbuan di sebuah premis di Bandar Puteri, Puchong dekat sini.

Ringkasan AI
  • Polis menahan 10 individu tempatan yang disyaki terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan saham mata wang asing, dengan kerugian mencecah RM399,787 dan operasi dijalankan dari sebuah premis di Puchong.
  • Sindiket ini dipercayai beroperasi selama enam bulan, menyasarkan mangsa tempatan dan asing melalui aplikasi pelaburan tidak sah, dengan 2,597 pelanggan dikenal pasti, termasuk dari Malaysia, Indonesia, India, Mongolia, Afrika Selatan dan Bhutan.
  • Rampasan bernilai RM45,000 dilakukan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, manakala suspek direman dan ditahan semula berkaitan laporan lain.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Muhamad Farid Ahmad berkata suspek terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita berusia antara 21 dan 38 tahun itu dipercayai berperanan sebagai pengurus sindiket, pereka platform, perkhidmatan pelanggan serta pentadbir bagi mengendalikan dokumen syarikat.
Beliau berkata siasatan mendapati sindiket itu dipercayai menyasarkan warga tempatan serta asing, dan sudah beroperasi selama enam bulan.
"Modus operandi sindiket itu dipercayai memberi pulangan lumayan hanya untuk pelaburan pertama bagi mengumpan kepercayaan mangsa terus melabur di aplikasi pelaburan berkenaan.
"Sindiket itu mempunyai dua syarikat, namun tidak berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan disyaki membangunkan aplikasi sendiri untuk pelaburan terbabit. Ketika ini, polis masih menyiasat sebuah lagi syarikat yang dipercayai turut digunakan bagi memindahkan wang mangsa," katanya pada sidang media di sini hari ini,
Muhamad Farid berkata hasil siasatan mendapati aplikasi berkenaan mempunyai 2,597 pelanggan dipercayai mangsa, dengan 2,482 daripadanya dari Malaysia, 111 dari Indonesia dan masing-masing seorang dari India, Mongolia, Afrika Selatan dan Bhutan.
"Hasil serbuan, polis merampas tiga unit monitor komputer, dua unit pemprosesan pusat (CPU), enam komputer riba, 14 telefon bimbit pelbagai jenis dan satu modem WiFi dipercayai digunakan dalam operasi pelaburan saham dalam talian yang tidak sah dengan nilai rampasan RM45,000," katanya.
Muhamad Farid berkata semakan lanjut mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, manakala ujian saringan air kencing juga didapati negatif dadah.
"Suspek telah direman selama sehari sehingga semalam sebelum diberikan jaminan polis, namun ditahan semula bersabit laporan di Taman Melawati," katanya, sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.
-- BERNAMA
#sindiket pelaburan haram #warga asing #warga tempatan #PDRM