KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket pelaburan tidak wujud yang beroperasi di sebuah banglo yang pernah dijadikan pejabat dan kediaman konsulat kehormat negara asing dalam serbuan di sini, pada 22 Nov lepas.

Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, banglo di kawasan yang menempatkan beberapa lagi pejabat konsulat asing lain dikekalkan identitinya untuk kelihatan sebagai pejabat konsulat yang masih beroperasi dan dikawal pengawal bersenjata malah papan tanda konsulat berkenaan, turut tidak diturunkan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata dalam serbuan itu seramai 28 individu ditahan melibatkan 16 lelaki dan 12 wanita berusia lingkungan 20 hingga 62 tahun.

Bercakap pada sidang media khas di sini hari ini, beliau berkata mereka yang ditahan itu terdiri daripada 13 rakyat tempatan, tujuh China dan masing-masing empat orang warga Brunei Darussalam dan Korea Selatan.

Ramli berkata modus operandi sindiket itu adalah dengan menawarkan pelaburan berkonsepkan 'money games' yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.

Beliau berkata sindiket itu menawarkan pelaburan berkenaan kepada pelabur warga tempatan, China, Brunei Darussalam dan Korea Selatan.

"Pelaburan ditawarkan melalui matawang kripto dan sindiket ini menawarkan pelaburan bermula 155 USDT sehingga 31,000 USDT dan pulangan yang dijanjikan secara harian sebanyak satu hingga dua peratus selama 155 hari," katanya.

Menurut Ramli dalam serbuan berkenaan pihaknya turut merampas pelbagai barangan, antaranya 41 telefon bimbit, 13 pasport dan sebuah kereta jenis Lexus.

"Jumlah kerugian masih dalam siasatan manakala pemilik banglo berkenaan telah dikenal pasti dan akan dipanggil bagi memberi keterangan dalam masa terdekat berikutan beliau berada di luar negara," katanya.

Ramli berkata semua individu warga tempatan telah dibebaskan dengan jaminan polis manakala warga asing direman mengikut Akta Imigresen 1959 sehingga 8 Dis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan 511 Kanun Keseksaan.

Mengulas mengenai statistik kes melibatkan jenayah komersial, Ramli berkata bagi tempoh Januari hingga 26 Nov lepas, sebanyak 37,651 kertas siasatan dibuka melibatkan kerugian berjumlah lebih RM1.9 bilion.

-- BERNAMA