KUALA LUMPUR : Sindiket penyelewengan diesel bersubsidi tumpas dengan penahanan lima lelaki warga tempatan dalam satu serbuan di sebuah premis di Chan Sow Lin, Sungai Besi pada Rabu lepas.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur Ariffin Samsudin berkata suspek berusia 35 hingga 57 tahun itu ditahan sepasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Ops Tiris 3.0, dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan undang-undang (LEA's).

Beliau berkata pihaknya turut menyita empat lori lima tan, dua skid tank berkapasiti 20,000 liter setiap satu, 40 unit IBC tank, lima unit pam penyedut dan 44,000 liter cecair disyaki diesel yang dianggarkan keseluruhan bernilai RM300,000.

"Hasil risikan PDRM selama seminggu mendapati beberapa buah lori 'bonded' lima tan berulang kali membeli diesel di kira-kira 20 stesen minyak sekitar Ampang, Selangor dan premis ini dipercayai telah beroperasi sejak pertengahan Disember tahun lepas.

"Stesen minyak terlibat akan disiasat memandangkan terdapat pembelian berulang dalam sehari dilakukan oleh lori sama. Berdasarkan pemerhatian, diesel yang dibeli akan dikumpulkan di lokasi kejadian sebelum dipindahkan ke lori tangki yang datang ke stor berkenaan dan kemudiannya dihantar ke luar kawasan ibu negara," katanya dalam sidang media di KPDN Sunway Putra, di sini hari ini.

Ariffin berkata diesel bersubsidi yang dibeli sindiket itu dipercayai dijual semula ke kilang dan pihak industri di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan, dengan harga lebih murah berbanding harga pasaran.

Beliau berkata hasil semakan awal mendapati premis yang diserbu tidak memiliki sebarang lesen atau permit bagi berurusan dengan barang kawalan iaitu diesel.

"Lima lelaki yang ditahan itu merupakan pemandu lori dan pekerja di stor. Mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah keterangan diambil," katanya.

Ariffin berkata KPDN Kuala Lumpur juga tidak menolak kemungkinan kegiatan ini dijalankan secara bersindiket serta mengawal kawasan tertentu, kerana pembelian diesel bersubsidi dibuat di stesen-stesen minyak dalam kawasan tertentu, di kawasan Ampang sahaja dan tidak melibatkan kawasan lain.

Dalam perkembangan berasingan, Ariffin berkata sepanjang 2023, KPDN Kuala Lumpur telah membuka sebanyak 10 kertas siasatan melibatkan 15 tangkapan warga tempatan di bawah tindakan Ops Tiris berasaskan sumber risikan dan kerjasama PDRM.

"Nilai sitaan keseluruhan barang kawalan berjumlah 135,000 liter yang bernilai RM290,250 manakala nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM965,000 merangkumi kenderaan, peralatan dan barang kawalan," katanya.

-- BERNAMA