Polis berjaya menumpaskan sindiket pinjaman tidak wujud (PTW) selepas serbuan ke pusat khidmat panggilan sindiket itu di sebuah kondominium di Kampar, Perak pada Rabu.

Ia sekali gus menyelesaikan 90 kes seluruh negara, khususnya di Perak dan Pahang yang melibatkan kerugian lebih RM100,000.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, dalam serbuan itu, polis memberkas 11 suspek di samping merampas 44 unit telefon bimbit dan empat unit komputer riba.

Sindiket itu bergerak aktif sejak empat bulan lalu dengan mengutip yuran pemerosesan daripada mangsa yang ditawarkan pinjaman yang sebenarnya tidak wujud.

“Daripada 90 kes yang berjaya diselesaikan, tiga kes adalah melibatkan kontinjen Perak dan satu ada melibatkan IPD Batu Gajah.

“Berdasarkan kepada laporan itu, kita dapat penemuan ini yang terus membawa kita membongkarkan pusat khidmat panggilan ini.

“Dalam kes ini kita berjaya menangkap empat wanita dan tujuh lelaki yang menjadi operator menghantar mesej-mesej pinjaman tidak wujud ini,” katanya.

Beliau ditemui dalam sidang media di IPD Batu Gajah, Perak pada Jumaat petang.

Menurut Ahmad Adnan, polis masih menjalankan siasatan untuk mengenalpasti perancang utama sindiket tersebut.

Katanya, kesemua 11 suspek ditahan reman selama empat hari mulai Khamis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.