[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Sindiket proses, edar dadah tumpas, nilai rampasan lebih RM598 juta - KPN

Hasimi Muhamad 17/09/2025 | 04:57 MYT
Mohd Khalid (tengah) semasa sidang media di Dewan Pengaman Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini pada Rabu. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya menumpaskan sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah jenis Methylene-dioxy-methamphetamine (MDMA), atau lebih dikenali sebagai “ecstasy”, menerusi Operasi Pine (Op Pine), pada 10 September lalu.


Ringkasan AI
  • JSJN Bukit Aman berjaya menumpaskan sindiket dadah MDMA melalui Operasi Pine pada 10 September, dengan rampasan bernilai RM598.9 juta.
  • Sindiket dipercayai beroperasi sejak Julai 2025, menggunakan premis perindustrian sebagai makmal haram untuk edaran tempatan dan antarabangsa.
  • Empat lelaki tempatan ditahan, dan serbuan di Kepong menemui lebih 3,300kg dadah, bahan kimia serta peralatan memproses dadah.


Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, menerusi tiga serbuan berasingan, JSJN merampas kira-kira 3,586.45 kilogram (kg) jenis dadah, yang dianggarkan bernilai RM598.9 juta di pasaran gelap.

Katanya, siasatan awal mendapati sindiket terbabit dipercayai mula beroperasi sejak Julai 2025 dengan modus operandi menyewa premis di kawasan perindustrian sebagai makmal pemprosesan haram, sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan antarabangsa termasuk ke Indonesia dan Australia.

Dalam serbuan tersebut, jelas beliau lagi empat lelaki tempatan berusia antara 34 hingga 51 tahun ditahan, masing-masing berperanan sebagai koordinator, ahli kimia, pembantu dan pengangkut bekalan dadah.

"Serbuan pertama telah dijalankan di sebuah premis sekitar kawasan Taman Perindustrian, Kepong, Kuala Lumpur dan telah berjaya menangkap tiga orang lelaki tempatan iaitu suspek pertama hingga ketiga.

"Pemeriksaan lanjut didalam premis tersebut berjaya merampas 136 tong bersama satu bekas plastik berisi cecair disyaki dadah jenis MDMA dengan anggaran berat sebanyak 3,330kg.

"Selain itu, 563 botol kaca berisi cecair bahan kimia dengan anggaran berat sebanyak 1,200kg.

"Lapan tong dan enam plastik berisi serbuk disyaki bahan kimia 213.7kg dan pelbagai peralatan memproses dadah," katanya dalam sidang media di Dewan Pengaman Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata serbuan kedua pula dijalankan di Kepong Industries Park, menyaksikan penemuan 25.3kg dadah MDMA, 231.15kg cecair MDMA, 947.35kg cecair bahan kimia serta 52.4kg serbuk bahan kimia selain peralatan makmal.

Manakala, serbuan ketiga di sebuah rumah di Dataran Templer berjaya menahan seorang suspek, namun tiada dadah ditemui.

"Rampasan keseluruhan berpotensi menjejaskan kehidupan hampir 11.9 juta pengguna sekiranya ia terlepas ke pasaran," ujar beliau.

Selain itu, Mohd Khalid memaklumkan tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan nilai sitaan keseluruhan RM336,224.

Antara yang disita lima kenderaan pelbagai jenama iaitu Toyota Vellfire; Toyota Unser; Toyota Caldina; Proton X70 dan Mazda 6, sebuah lori 'forklift', wang tunai RM2,000, sebentuk cincin dan beberapa syiling emas.

Katanya lagi, kesemua suspek ditahan reman tujuh hari bermula 11 September lalu hingga hari ini dan disambung reman tujuh hari lagi untuk melengkapkan siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali.


#rampasan dadah #Ketua Polis Negara #Mohd Khalid Ismail #ecstasy #terkini