MALAYSIA
Sindiket seludup petrol di perairan Semporna ditumpaskan Maritim Malaysia

Taktik licik sindiket penyeludupan bahan api di perairan Pulau Bum-Bum, Semporna, berjaya dipatahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Maritim Semporna dalam satu operasi khas, semalam. - Gambar ihsan Maritim Malaysia
SEMPORNA: Taktik licik sindiket penyeludupan bahan api di perairan Pulau Bum-Bum, Semporna, berjaya dipatahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna dalam satu operasi khas, semalam.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli memaklumkan, rampasan tersebut adalah hasil gabungan tiga operasi iaitu Ops Pluto Timur 2/2023, Ops Khas Cegah PATI (OCP) dan Ops Tiris 3.0.
“Bertindak atas maklumat risikan, Maritim Malaysia telah mengatur gerak Bot KILAT 52 dan Bot ADAL 18 ke lokasi yang dikenal pasti. Setibanya di lokasi, empat buah bot pam tanpa nombor pendaftaran dikesan bergerak secara mencurigakan,” katanya.
Namun, menurut beliau, sebaik menyedari kehadiran anggota Maritim Malaysia, kesemua juragan dan awak-awak bot bertindak melarikan diri dengan terjun ke laut dan menuju ke kawasan cetek, meninggalkan bot serta muatan mereka.Pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan empat buah bot pam, 26 tong jerrycan berisi petrol, dan sebuah enjin sangkut Yamaha 40HP, dengan nilai keseluruhan petrol dianggarkan melebihi RM10,000.
Rampasan tersebut dibawa ke Jeti Kem Azumi untuk tindakan lanjut dan kes kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Amir turut menegaskan, Zon Maritim Semporna akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara daripada sebarang bentuk jenayah maritim.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami