Sinergi lahirkan Sinar Awani

Sinar Harian
April 13, 2018 00:59 MYT
Sinar Awani akan menjadi medium untuk mendapatkan berita lebih cepat dan tepat di kedua-dua platform digital dan akhbar Sinar Harian. - Foto Izari Rosli / Sinar Harian
Dua syarikat gergasi media tempatan Sinar Harian dan Astro Awani menjalinkan kolaborasi bagi memastikan laporan berita mengenai PRU14 yang lebih komprehensif dapat disalurkan kepada seluruh rakyat di negara ini.
Ketua Pegawai Operasi Karangkraf, Syamil Fahim Mohd Fahim berkata, kerjasama yang dikenali sebagai Sinar Awani itu bakal dilihat secara jelas bermula pada hari penamaan calon PRU14, 28 April ini.
“Pada waktu penamaan calon, lihatlah di Sinar Harian, Sinar Online dan Astro Awani di mana laporan disediakan adalah berbeza, lebih mendalam dan profesional.
“Ini kerana antara Sinar Harian dan Astro Awani, masing-masing memiliki kelebihan dan kekuatan tersendiri, apabila kerjasama ini dijalinkan.
"Kami yakin ia bakal memberi impak serta kepuasan kepada masyarakat di luar untuk mendapatkan berita yang lebih tepat dan cepat,” katanya dalam wawancara khas di Facebook Sinar Harian.
Apa yang diharapkan melalui kerjasama ini bukan hanya akan memberi kelebihan kepada kedua-dua pihak, malah manfaat kepada rakyat adalah diutamakan.
“Manfaat kepada masyarakat itu yang lebih penting kerana kita mahu berita-berita yang dihasilkan melalui kerjasama ini akan menjadikan rakyat lebih berinformasi.
“Itu yang kami lihat daripada kerjasama yang lebih padu dan mantap sempena PRU14 ini,” katanya.
#Astro Awani #kerjasama #kolaborasi #Media #PRU14 #Sinar Awani #Sinar Harian #sinergi #Syamil Fahim Mohd Fahim